suria

Usaha Mencari Sangat Bergantung Kepada Cuaca - Australia

John Young
PETALING JAYA: Pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang sangat bergantung kepada keadaan cuaca di selatan Lautan Hindi, menurut badan mencari dan menyelamat utama Australia.

"Semalam (Khamis), keadaan tidak begitu baik menyebabkan pesawat melakukan carian radar dan kami tidak dapat mengesan apa-apa," kata Pengurus Besar Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA), John Young.

Dalam video yang dikemaskini di laman web AMSA, beliau berkata carian telah dirancang semula untuk mencari kemungkinan serpihan dengan melihat keadaan cuaca yang bertambah baik dan membenarkan operasi diteruskan.

"Hari ini (Jumaat) ramalan cuaca adalah lebih baik dan kami telah merancang semula carian. Ini melibatkan pesawat yang terbang agak rendah dengan pemerhati yang berkemahiran tinggi dan terlatih mebuat tinjauan keluar dari tingkap untuk mengesan objek," kata beliau.

Pada masa ini terdapat lima pesawat yang terlibat dalam carian di luar pantai Australia, termasuk tiga pesawat Tentera Udara Diraja Australia P-3 Orion, sebuah jet korporat jarak jauh dan pesawat Tentera Laut Amerika Syarikat P -8 Poseidon.

Walau bagaimanapun, JOhn berkata sifat semulajadi kawasan carian memerlukan lebih banyak pesawat digunakan.

"Walaupun kawasan carian jauh lebih kecil berbanding permulaan, ia tetap merupakan kawasan yang besar apabila anda mencari ke luar tingkap dan cuba untuk melihat sesuatu dengan mata.

"Oleh itu, kita mungkin perlu melakukan ini beberapa kali untuk berasa yakin dengan liputan kawasan carian.

"Kami tetap memberi tumpuan kepada mencari mereka yang masih hidup jika mereka berada di sana, " kata John.
JOhn Young, AMSA, Australia, MH370

Artikel Lain