Awan tebal dan hujan telah menjejaskan penglihatan dan usaha mencari.
Portal berita BBC melaporkan yang pasukan tersebut akan kembali menjalankan operasi mencari dan menyelamat pada pagi Jumaat.
Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (Amsa) memgumumkan sejurus sebelum tengah malam Khamis yang empat buah pesawat peninjau dari Australia, Amerika Syarikat dan New Zealand telah meninjau kawasan seluas 23,000 kilometer persegi dan mereka masih gagal menemui apa jua bukti atau cebisan yang boleh dikaitkan dengan MH370.
Menurut kenyataan Amsa lagi, objek sepertimana yang dirakamkan oleh satelit itu dan menjadi tumpuan ramai sejak ia disiarkan di seluruh dunia mungkin telah hanyut beribu kilometer dari tempat ia dirakamkan.
Dua objek yang dirakamkan oleh satelit itu sebesar 24 meter panjang dan satu lagi lima meter panjang.
Ketika dirakam dua objek tersebut terapung kurang lebih 2,500 kilometer dari Perth, Australia.