suria

MH370: Tiada Keluarga Minta Ke Australia

Keluarga penumpang warga China yang masih berada di negara ini belum meminta supaya mereka dibawa ke Australia.

SEPANG: Duta Khas Perdana Menteri ke China Tan Sri Ong Ka Ting berkata setakat ini belum ada keluarga penumpang MH370 warga China yang berada di sini meminta dibawa ke Australia.

Katanya ini kerana tiada perkembangan terkini berhubung dua objek yang imejnya dicerap oleh satelit di selatan Lautan Hindi awal minggu ini dan dilapor mungkin ada kaitan dengan pesawat Malaysia Airlines tersebut.

"Mereka tidak minta begitu (dibawa ke Australia) kerana tidak ada sebarang penemuan (sahih) setakat ini," katanya yang ditemui pemberita selepas menghadiri taklimat mengenai operasi mencari dan menyelamat MH370 di sini, Sabtu.

Khamis lepas Perdana Menteri Australia Tony Abbott mengumumkan penemuan dua objek itu kira-kira 2,500 kilometer dari barat daya Perth yang mungkin ada kaitan dengan penerbangan MH370 yang hilang sejak 8 Mac lepas.

Operasi mencari dan menyelamat yang melibatkan pelbagai negara sehingga kini masih gagal mengesan pesawat tersebut yang membawa 239 penumpang dan anak kapal dengan lebih separuh penumpang ialah warga China.

Sementara itu, warga media pada Sabtu diminta agar tidak mengganggu saudara mara penumpang warga China yang ditempatkan di sebuah hotel di Bangi.

"Tolonglah, bukan hari ini. Kami sangat letih dan baru sahaja habis perbincangan," kata seorang daripada mereka ketika dihampiri wakil media di hotel itu. 

Beberapa sukarelawan dari badan bukan kerajaan Cina juga dilihat berada di sisi sesetengah keluarga terbabit.

"Mereka semua tidak betul-betul okey...malah kami juga tidak dapat membantu sangat," kata seorang daripada sukarelawan berkenaan.

Dalam pada itu, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bersedia menambah aset bagi membantu operasi mencari dan menyelamat MH370.

Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata setakat ini TLDM menghantar enam kapal bersama tiga pesawat bagi menyertai misi pencarian di koridor selatan, meliputi perairan Indonesia hingga ke selatan Lautan Hindi.

"Kita telah mengarahkan beberapa kapal untuk siap sedia sekiranya terdapat petunjuk mengenai pesawat itu, lebih-lebih lagi jika pesawat itu ditemui," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Kelapan Persatuan Pesara Pegawai TLDM (RMNOA) di Kuala Lumpur.

MH370, MAS, Australia, China

Artikel Lain