Penolong Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN) (Komunikasi Korporat), Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman, ACP Datin Asmawati Ahmad berkata tabloid asing itu tidak mempunyai hak eksklusif untuk butiran siasatan.
"Ketua Polis tidak pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan awam yang mengkategorikan siasatan MH370 di bawah tindakan keganasan.
"Perlu dimaklumkan bahawa Polis Diraja Malaysia tidak bertanggungjawab atas penyebaran maklumat, yang berasal daripada sumber-sumber yang tidak dinamakan dan tidak disahkan," katanya, sambil menambah berita dalam tabloid itu hanya spekulasi semata-mata.
Laporan itu mendakwa penyiasat telah membuat penelitian terhadap panggilan dua minit yang dibuat menggunakan kad sim prabayar yang didaftarkan di bawah nama wanita, tetapi dengan pengenalan palsu.
Ia juga menyatakan bahawa polis telah mengesan kedai menjual kad sim prabayar itu di Kuala Lumpur.
Laporan itu mendakwa spekulasi bahawa pesawat itu mungkin telah dirampas oleh pengganas muncul selepas Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengklasifikasikan kes kehilangan penerbangan MH370 sebagai tindakan keganasan, termasuk rampasan dan sabotaj.