suria

Malaysia Bekerjasama Dengan 26 Negara Cari Serpihan MH370

Hishammuddin (dua, kanan) pada sidang media harian mengenai MH370 di PWTC, Selasa. Turut serta Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya (kiri), Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar (dua, kiri) dan Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Datuk Azharuddin Abdul Rahman. Foto ONG SOON HIN / THE STAR

KUALA LUMPUR: Malaysia terus bekerjasama dengan 26 negara bagi mencari serpihan pesawat Penerbangan Malaysia MH370 yang terhempas, kata pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

"Kita masih bekerjasama dalam SAR (operasi mencari dan menyelamat) sejak mula lagi. Terdapat 26 negara, dan ia melibatkan banyak pesawat dan kapal. Kami amat bernasib baik kerana banyak negara tampil dan menyokong usaha-usaha kita," kata Hishammuddin pada sidang media harian mengenai MH370 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Selasa.

Hishammuddin menyatakan penghargaan Malaysia terhadap bantuan yang ditawarkan oleh Australia dalam mencari pesawat Boeing 777 itu, sambil menambah bahawa kawasan pencarian kini telah mengecil kepada satu titik dalam koridor selatan di Lautan Hindi di perairan Australia.

"Di sini dan di Parlimen sebelum ini, saya telah menyatakan terima kasih kepada Australia kerana imej-imej satelit, sama ada dari Perancis, Cina atau Australia yang berada dalam kuadran di mana Australia mengetuai pencarian itu," kata Hishammudin.

Beliau berkata, dalam pencarian sebelum ini, Indonesia mencari di kawasan koridor selatan yang hampir dengan perairannya, sambil menambah bahawa Indonesia dan Australia yang merupakan dua negara yang berdekatan dengan koridor selatan di Lautan Hindi.

"Ya, kita memperkecilkan pencarian, melibatkan hujung selatan Koridor Selatan dan negara yang paling dekat, Australia telah mengambil bahagian yang utama dan mereka melakukannya dengan serius, dan saya telah menyatakan penghargaan Malaysia atas usaha sama mereka di Parlimen.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada malam Isnin mengumumkan bahawa berdasarkan analisis data satelit baharu oleh syarikat satelit Inmarsat dan Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom (AAIB), ia membuat kesimpulan bahawa MH370 terbang di koridor selatan dengan kedudukan terakhirnya di tengah Lautan Hindi di barat Perth, Australia.



hishammuddin tun hussein

Artikel Lain