suria

PRK Balingian: 99.25% Pengundi Awal Keluar Mengundi

Abdul Ghani Salleh.

MUKAH: Proses pengundian awal bagi pengundi awal dalam pilihan raya kecil (PRK) Balingian berakhir pada pukul 5 petang Selasa dengan 132 atau 99.25 peratus pengundi awal menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Mukah. 

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, peratusan pengundi awal disifatkan baik walaupun hanya seorang sahaja tidak keluar mengundi memandangkan jumlah asal pengundi awal berdaftar ialah 133 pengundi.

"Tak tahu kenapa hanya seorang pengundi itu sahaja tak turun mengundi tetapi secara keseluruhan SPR berpuas hati dengan proses pengundian awal hari ini," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Selasa.

Selesai proses pengundian awal hari, sejumlah 13,233 pengundi biasa DUN Balingian akan menjalankan tanggungjawab masing-masing pada Sabtu ini dengan 21 saluran atau pusat mengundi dibuka pada hari Sabtu melibatkan 16 buah di sekolah, dua buah di rumah panjang, dua buah di balai raya dan sebuah dewan orang ramai.

SPR menjangka keputusan PRK Balingian diumumkan selewat-lewatnya pada pukul 9 malam di Dewan Suarah Mesra Mukah.

Artikel Lain