suria

MH 370: Naib Menteri Luar China Lawat Keluarga Penumpang

Naib Menteri Hal Ehwal Luar dan Duta Khas Kerajaan China, He Zhang Yesui (dua, kanan) keluar dari bilik mesyuarat selepas menghadiri mesyuarat tertutup bersama Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bersama delegasi-delegasi dari China di Putrajaya pada Khamis.

BANGI: Naib Menteri Hal Ehwal Luar Republik China Zhang Ye Sui melawat 21 anggota keluarga penumpang penerbangan Malaysia Airlines MH370 yang ditempatkan di Hotel Bangi-Putrajaya di sini Khamis.

Mereka merupakan anggota keluarga kepada sebahagian daripada 154 penumpang warga China dalam pesawat malang itu.

Zhang yang tiba kira-kira pukul 2.55 petang dan diiringi Ketua Bersama Kumpulan Kerja Gou Shaochun, dilihat terus memasuki hotel berkenaan dan disusuli Duta China di Malaysia Huang Huikang pada 3.20 petang.

Ketiga-tiga mereka meninggalkan Hotel Bangi-Putrajaya pada 3.35 petang dan tidak melayan sebarang pertanyaan daripada wartawan.

Menurut seorang pegawai Kedutaan China di Malaysia, Ling Tong, perjumpaan yang diadakan pada hari ini adalah untuk mendengar permintaan daripada keluarga penumpang.

Ling bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai pertemuan antara wakil kerajaan China dengan keluarga penumpang itu.

Difahamkan, delegasi itu sepatutnya mengadakan perjumpaan dengan keluarga penumpang semalam, namun membatalkannya pada saat-saat akhir.

Zhang semalam mengunjungi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Selain keluarga penumpang dari China, hotel itu turut menempatkan enam keluarga dari India dan satu dari New Zealand.

Pada Isnin, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi berdasarkan analisis data satelit oleh pengendali satelit Inmarsat dan Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara di United Kingdom.

Pesawat Boeing 777-200ER itu yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang pada 8 Mac kira-kira sejam setelah meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa KL di Sepang pada 12.41 tengah malam.

MH370, China, Malaysia, MAS

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain