PETALING JAYA: Hanya selepas beberapa jam membuat pendaftaran bagi merebut kerusi presiden PKR pada pemilihan kali ini, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tampil dengan kenyataan baru untuk menarik diri bagi memberi laluan kepada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut disahkan merebut jawatan sama. Menerusi syarat dan peraturan pemilihan parti, penyandang jawatan Presiden PKR itu boleh berbuat demikian selewat-lewatnya 10 April ini. Menerusi kenyataan lewat petang Sabtu, Wan Azizah membayangkan kemungkinan menarik diri jika Anwar hilang kelayakan bertanding atas sebab-sebab tertentu sebelum pencalonan dimuktamadkan oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat. "Keputusan ini (bertanding jawatan Presiden) dibuat demi menjaga kepentingan dan masa depan parti sekiranya dalam masa terdekat ini, sebelum pencalonan dimuktamadkan...saudara Anwar tidak dapat meneruskan pencalonan beliau," katanya. Selepas proses pencalonan pemilihan jawatankuasa pusat ditutup pukul 5 petang Sabtu, Wan Azizah dan Anwar masing-masing disahkan bertanding jawatan Presiden PKR dalam pemilihan yang akan diadakan pada Mei ini. Difahamkan wakil calon Adun Kajang yang baharu itu menyerahkan borang pencalonan Wan Azizah pada saat-saat akhir iaitu dalam tempoh dua jam terakhir sebelum kaunter penyerahan borang ditutup. Selain itu Wan Azizah menyatakan penyertaan pada saat-saat akhir itu dibuat sebagai persediaan selari dengan strategi 'langkah Kajang' apabila Anwar dinafikan hak bertanding apabila dijatuhi hukuman penjara lima tahun atas kesalahan meliwat. "Dengan pemahaman dan pengamatan persada politik mutakhir ini, serta memahami kebijakan yang diperlukan dalam menghadapi musuh politik yang sering menggunakan taktik politik kotor, maka saya telah menerima cadangan beberapa anggota parti untuk menawarkan diri saya sebagai calon bagi jawatan Presiden PKR," katanya.