KUALA LUMPUR: Malaysia sentiasa berpegang kepada prinsip tanggungjawab dalam membuat sebarang tindakan dan keputusan berhubung insiden kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370. Itu ditegaskan pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bagi menjawab pelbagai persoalan dan tohmahan yang dilontar mengenai operasi mencari dan menyelamat MH370 yang kini masuk hari ke-22. Antara isu utama yang terus dibangkitkan ketika ini adalah bagaimana radar tentera Malaysia tidak dapat mengesahkan pesawat yang berpatah balik pada awal pagi 8 Mac lepas adalah MH370. "Itu masih di peringkat awal spekulasi pada masa itu. Saya boleh mengesahkan bahawa kami perlu meneliti semula, menyorot kembali kemungkinan. Kami meminta tentera untuk menyorot kembali kerana SOP tidak diikuti. Bila kita ulang balik baru kita tengok ada titik berkenaan. Yang itu tidak diketahui sesiapapun. "Saya berkongsi pengalaman saya dengan media Malaysia. tetapi di peringkat awal apabila mereka memaklumkan saya seperti kemungkinan satu peratus (bahawa titik yang dikesan adalah MH370) dan saya kata teruskan carian anda. "Apabila kami kehilangan data itu, serahkan kepada Vietnam dan saya meminta pihak tentera untuk ulang balik dan diteliti semula," katanya dalam sidang media khas kepada wartawan Malaysia di sini, Sabtu. Hishammuddin berkata tindakan yang sama juga dilakukan badan-badan antarabangsa yang terlibat dalam operasi SAR itu yang akhirnya mengesan waktu terakhir isyarat pesawat itu direkodkan satelit, sehinggalah kepada mengecilkan kawasan pencarian di koridor selatan. Penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang pada 8 Mac setelah sejam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 12.41 tengah malam. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama. Sebelum ini, siasatan awal ke atas rakaman radar militari menunjukkan ada kemungkinan juruterbang pesawat MH370 melakukan 'air turn back' atau berpatah balik ke KLIA, dan ia disahkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 15 Mac bahawa pesawat itu telah terbang ke arah barat dari laluan yang sepatutnya. Hishammuddin mempersoalkan apakah tindakan terbaik yang boleh diambil sekiranya pesawat yang dikesan membuat pusingan balik itu disahkan sebagai MH370. "Kalau dah tahu, adakah kita nak scramble jet? Apa kita nak buat? Takkan kita nak tembak? Cakap memang mudah. Kalau diletakkan di tempat saya baru tahu seribu satu perkara yang perlu difikir sebelum buat keputusan. "Nak tuduh mudah, nak buat spekulasi lagi mudah tapi kita kena buat tindakan yang bertanggungjawab. Saya rasa kita dah buat yang terbaik setakat mana yang kita mampu," katanya.