PUTRAJAYA: Kalangan anggota keluarga penumpang pesawat MH370 berpuas hati dengan penjelasan diberikan Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berhubung kehilangan pesawat itu dalam sesi pertemuan di Hotel Everly di sini, Sabtu. Sharil Shaari, 36, berkata semua persoalan dan ketidakpuasan hati yang terbuku di hati anggota keluarga rakyat tempatan dan China telah terjawab dalam pertemuan yang berlangsung satu jam setengah itu. "Sebelum ini, kami tidak begitu memahami dengan beberapa pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak termasuk pengakhiran pesawat itu di Lautan Hindi tetapi selepas pertemuan ini, semuanya telah selesai," katanya kepada pemberita selepas pertemuan itu. Sharil yang merupakan sepupu Mohd Razahan Zamani, 23, berkata Hishammuddin juga memberi jaminan operasi mencari dan menyelamat akan tetap diteruskan selain usaha mencari kotak hitam menjadi keutamaan. Beliau juga memuji Hishammuddin seorang yang berani menyatakan perkara sebenar, selain masih menaruh harapan selagi tiada sebarang bukti kukuh ditemui untuk dikaitkan dengan kehilangan pesawat itu. Selamat Omar, 60, bapa Mohd Khairul Amri, 29, berkata, beliau percaya kerajaan tidak menyembunyikan sebarang fakta seperti digembar-gemburkan oleh media sosial. "Mengenai laporan berita ada satelit menjumpai objek, beliau (Hishammuddin) memberitahu perkara berkenaan perlu dianalisis dan kajian terlebih dahulu. Respons mengenainya tidak boleh dibuat melulu atau segera," katanya. Selamat turut melahirkan rasa terharu kerana Hishammuddin sudi bertemu dan mendengar luahan hati anggota keluarga dan itu membuktikan beliau sangat prihatin dan bertanggungjawab terhadap insiden kehilangan pesawat malang itu. Pesawat Malaysia Airlines itu yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang pada 8 Mac setelah sejam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 12.41 tengah malam. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama. Pada Isnin lepas, iaitu hari ke-17 operasi mencari, Najib mengumumkan berdasarkan analisis data satelit Inmarsat dan AAIB United Kingdom, penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi".