suria

Chew Mei Fun Dilantik Pegawai Khas Malaysia Ke China

Chew Mei Fun.
KUALA LUMPUR: Naib Presiden MCA Datin Paduka Chew Mei Fun dilantik sebagai pegawai khas mewakili Malaysia ke China bagi bertemu dengan anggota keluarga penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.

Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata keputusan itu dibuat oleh jemaah menteri dalam mesyuarat mingguannya baru-baru ini bagi memastikan wakil kerajaan Malaysia fasih berbahasa Mandarin bagi mengendalikan urusan dengan anggota keluarga penumpang warga China.

"Difahamkan (Chew) Mei Fun bersama-sama dengan rombongan delegasi yang diketuai Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainudin serta anggota Crisis Relief Squad of MCA (CRSM) berlepas ke China untuk bertemu anggota keluarga pada Ahad," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden MCA di Wisma MCA, di sini Isnin.

Liow berkata selain menghantar wakil untuk bertemu anggota keluarga penumpang, pihaknya turut akan bekerjasama dengan pemimpin pelbagai agama untuk menganjurkan majlis keagamaan bagi mendoakan misi mencari dan menyelamat MH370.

"Kami juga menghantar pasukan CRSM untuk membantu dan menjaga semua anggota keluarga penumpang MH370 ke semua hotel yang menempatkan mereka, terutamanya dari negara China," katanya.

Ditanya mengenai kenyataan anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Pinang, Teng Chang Khim daripada DAP yang mempersoalkan pelantikan Chew ke China setelah tewas dalam Pilihan Raya Kecil DUN Kajang pada 23 Mac lepas.

Liow berkata Pakatan Rakyat (PR) sering mempolitikkan banyak isu terutamanya dalam isu MH370 bagi mencapai agenda mereka sendiri. 

"Pelantikan Chew ke China adalah tugas yang mulia dan amat dititikberatkan oleh kerajaan dalam memberi bantuan kepada anggota keluarga penumpang MH370.

"Pakatan (Rakyat) bukan sahaja mempolitikkan isu ini, malah banyak lagi isu-isu lain yang melibatkan rakyat juga sering dipolitikkan bagi mencapai agenda mereka," katanya. 

Pada Ahad, Teng yang juga bekas speaker DUN Selangor menerusi akaun Twitternya menyebut 'rupa-rupanya kalah dalam PRK DUN Kajang pun boleh dilantik menjadi wakil ke negara China' dalam bahasa Mandarin. 

Penerbangan MH370, yang membawa 227 penumpang termasuk 152 warga China dan 12 kru, hilang pada pagi 8 Mac kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pukul 12.41 tengah malam. 

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama. 

Najib kemudian mengumumkan pada 24 Mac, tujuh belas hari selepas pesawat itu hilang bahawa penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi". 

Artikel Sebelum

Artikel Lain