Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pelan komprehensif itu akan dibangunkan berdasarkan kekuatan sumber ekonomi yang terdapat di setiap daerah supaya pembangunan di negeri ini dapat dilakukan berterusan.
"Pelan ini sedang dalam peringkat kajian sebelum siap pada akhir tahun. Kita bukan sahaja mahu Johor menjadi destinasi pilihan pelaburan malah kemajuannya setanding Singapura.
"Kalau kita tidak membangunkan Johor, sudah tentu rakyat akan membandingkan negeri ini dengan negeri lain dan Singapura, yang akhirnya rakyat akan cakap Johor hanya sekadar negeri halaman belakang Singapura," katanya kepada pemberita pada Isnin.
Turut hadir Ketua Pengarah Kemas Datuk Hassan Mohd Amin.
Khaled berkata Johor mencatatkan negeri paling tinggi menerima kemasukan pelaburan pada tahun lepas yang menunjukkan kerajaan negeri sentiasa berusaha untuk memajukan ekonomi.
Terdahulu, dalam ucapannya, beliau mengingatkan anggota Kemas di negeri ini supaya memainkan peranan penting dalam menyebarkan maklumat kepada rakyat khususnya mengenai matlamat, rancangan, visi serta misi kerajaan pusat dan negeri.
"Peranan anggota Kemas sudah terbukti sejak dahulu dalam membantu menerangkan program kerajaan seperti melalui kelas masakan dan jahitan.
"Peranan anggota Kemas yang menjadi jambatan antara kerajaan dan rakyat perlu diteruskan untuk terus memajukan negara," tegasnya.