suria

Pemandu Terlibat Dalam Kemalangan Dengan Bas Ditahan

Supt Shafien Mamat.
NIBONG TEBAL: Polis menahan pemandu kenderaan pacuan empat roda yang melarikan diri selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah bas di Lebuhraya Utara Selatan arah utara berhampiran Jawi, di sini Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Supt Shafien Mamat berkata pemandu berusia 29 tahun itu dikenal pasti selepas empat pekerja kontrak yang menaiki kenderaan itu menyerah diri pada Ahad.

Beliau berkata pada awalnya seorang daripada pekerja kontrak itu mengaku memandu kenderaan berkenaan untuk melindungi rakannya yang tidak mempunyai lesen memandu.
 
"Lelaki yang berusia 37 tahun itu mengaku (memandu kenderaan itu) dan memberi alasan mereka melarikan diri ketika kejadian untuk menghadiri kenduri di Perlis," katanya kepada pemberita di sini Isnin.

Bagaimanapun, selepas siasatan polis mendapati lelaki terbabit membuat laporan palsu, katanya sambil memberitahu bahawa lelaki berusia 37 dan 29 tahun telah dibebaskan dengan jaminan polis. 

Shafien berkata polis kini menyiasat pemilik kenderaan pacuan empat roda itu kerana membenarkan kenderaannya dipandu oleh individu yang tidak memiliki lesen memandu. 

Kemalangan pada 10 malam Sabtu lepas di Km164 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Jawi itu menyebabkan enam penumpang bas ekspres cedera apabila bas yang dinaiki terbalik ke kiri jalan selepas pemandu bas berkenaan dikatakan hilang kawalan ketika cuba mengelak kenderaan pacuan empat roda yang memotongnya secara mengejut. 

Ketika kejadian bas itu dalam perjalanan dari Genting Highlands ke Alor Setar.

Artikel Lain