suria

45 Bakal Pemimpin Muda Mula Ikuti Program Pengkaderan Pada Ogos - Khairy

Khairy Jamaluddin.

KUALA LUMPUR: Program pengkaderan yang diusulkan  oleh Pergerakan Pemuda Umno pada Persidangan Agung Umno 2013 akan mula dilaksanakan pada Ogos ini.

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin, berkata kursus asas kepimpinan itu akan menyaksikan seramai 45 orang bakal pemimpin dari sayap Pemuda dan Puteri, wakil-wakil NGO dan mahasiswa yang layak dipilih mengikuti kursus tersebut.

"Pengambilan pertama akan mengikuti kursus yang akan bermula pada 1 Ogos ini.

"Kita akan kenal pasti siapa yang layak untuk mengikuti kursus secara intensif ini yang diadakan selama tiga minggu," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat exco Pemuda Umno di sini, Rabu.

Menurut Khairy, program tersebut dilaksanakan melalui dua pendekatan dengan pendekatan pertama menjurus kepada kursus latihan asas kepimpinan dan kemantapan organisasi yang diadakan  selama tiga hari bermula Jun ini.

"Latihan ini melibatkan ratusan peserta yang merupakan pemimpin dan bakal-bakal calon terutamanya di peringkat bahagian," katanya.

Katanya, berdasarkan kursus tersebut, calon-calon yang layak akan dipilih untuk mengikuti kursus lanjutan selama tiga minggu.

"Mereka akan ditempatkan di Akademi Kepimpinan Kapten Tun Hussein Onn di Kelana Jaya yang dikendalikan Pemuda Umno," ujarnya.

Menteri Belia dan Sukan ini berkata, program pengkaderan tersebut akan menggunakan pensyarah-pensyarah universiti tempatan, fasilitator dan pakar -pakar motivasi terbaik.

Jelasnya, bagi kursus latihan asas, ia akan dikendalikan oleh Biro Latihan dan Pendidikan Politik Pemuda Umno.

"Modul latihan lanjutan tidak hanya menumpukan doktrin dan organisas politik dalam kursus asas tetapi melibatkan modul yang lebih ke hadapan seperti ekonomi antarabangsa, kemahiran komunikasi dan pidato dan banyak lagi," katanya.

Artikel Lain