suria

Misi Mencari MH370 Satukan Dunia Bagi Satu Matlamat - Najib

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (sepuluh, kiri) bersama Perdana Menteri Australia, Tony Abbott (sebelas, kiri) bergambar kenangan berlatar belakangkan pesawat Hercules C130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Pangkalan Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) Pearce Bullsbrook di Perth, Khamis. Najib dalam rangka lawatan kerja selama dua hari mulai Rabu ditemani rakan sejawatnya itu melawat ke Pusat Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) pesawat MH370 yang hilang daripada imbasan radar semasa berada di kawasan Laut China Selatan kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12.41 tengah malam, 8 Mac lepas. -fotoBERNAMA
PERTH: Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak berkata di sini Khamis bahawa misi mencari pesawat Malaysia yang hilang telah menyatukan 26 negara di dunia bagi satu matlamat. 

Rakan sejawatan Najib dari Australia Tony Abbott turut senada dengan menyatakan negaranya berikrar untuk meneruskan misi pencarian tanpa sebarang tempoh ditetapkan. 

"Kami tidak akan berputus asa dan mengalah," kata Najib dalam sidang media bersama di sini Khamis.

Najib mengadakan pertemuan dengan Abbott dalam rangka lawatan kerja dua hari beliau untuk meninjau lebih dekat misi mencari yang sedang dilakukan di bandar raya barat Australia ini, bagi pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 yang dipercayai jatuh di selatan Lautan Hindi.

Najib mengucapkan terima kasih kepada kesemua 26 negara terlibat dalam operasi mencari, khususnya Australia bagi apa yang beliau sifatkan sebagai reaksi spontan dan sedia menyahut permintaan Malaysia bagi membantu misi pencarian itu.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua negara, atas komitmen mereka untuk membantu mencari pesawat Boeing 777-200ER itu, dan semua anggota pasukan mencari yang merisikokan segalanya untuk mencari dalam keadaan laut bergelora dan cuaca buruk di Lautan Hindi.

Najib berkata beliau menghargai komitmen Australia yang disifatkan sebagai "sahabat amat bernilai" Malaysia atas iltizam negara itu untuk meneruskan misi mencari tanpa sebarang tempoh ditetapkan.

Beliau berkata Australia turut menerima pelawaan Malaysia untuk turut serta sebagai wakil bertauliah dalam penyiasatan mencari pesawat yang hilang itu.

Penerbangan MH370, membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang daripada imbasan radar semasa berada di kawasan Laut China Selatan pada 8 Mac lepas, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing 6.30 pagi hari sama.

Misi mencari pesawat itu melibatkan pelbagai negara, pada mulanya di kawasan Laut China Selatan dan kemudiannya - selepas pesawat itu dikesan melencong daripada laluan - di sepanjang dua koridor iaitu koridor utara dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga utara Thailand dan koridor selatan dari Indonesia sehingga selatan Lautan Hindi.

Berikutan hasil analisis terhadap data satelit, syarikat telekomunikasi satelit United Kingdom Inmarsat dan Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara UK (AAIB) merumuskan Penerbangan MH370 terbang di sepanjang koridor selatan dan kedudukan terakhirnya di tengah Lautan Hindi, barat Perth. 

Najib kemudian mengumumkan pada 24 Mac, 17 hari selepas kehilangan pesawat Boeing 777-200 itu, Penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi". 

Pada Khamis, Abbott menyatakan komitmen negaranya untuk meneruskan misi mencari "walaupun ia mengambil masa yang lama". 

"Ia merupakan misi mencari yang paling sukar pernah dilakukan," katanya dan menurutnya operasi mencari adalah berdasarkan maklumat dikumpul oleh pakar daripada data satelit.

Beliau menasihatkan anggota keluarga penumpang dan anak kapal supaya bersabar.

Artikel Lain