suria

Polis Percaya Selesai Kes Bunuh Buruh Myanmar Di Rumah Kongsi

Polis memeriksa lokasi seorang buruh warga Myanmar yang mati dibunuh rakan sekerja di rumah kongsi di Kampung Durian Mentangau, Dungun, Rabu lepas.
DUNGUN: Polis percaya dapat menyelesaikan kes pembunuhan seorang buruh kontrak warga Myanmar di sebuah rumah kongsi di Kampung Durian Mentangau di sini, Rabu lepas, ekoran penangkapan suspek kedua di sini, Jumaat.

Ketua Polis Daerah Dungun Supt Ahmad Zailani Yaacub berkata suspek berusia 18 tahun, yang juga rakan sekerja mangsa, diberkas hasil maklumat orang awam di hadapan Pasaraya Tunas Manja di sini, kira-kira pukul 8.45 malam.

"Kita tidak menolak kemungkinan suspek yang baru dua bulan lebih bekerja di kawasan pembinaan itu dalam usaha untuk meloloskan diri ke daerah yang lain," katanya.

Dalam kejadian itu, mangsa berusia 22 tahun itu dipukul dengan besi perancah oleh dua rakan senegaranya yang tidak puas hati dengan sikap membuli mangsa di tempat kerja.

Ahmad Zailani berkata polis berjaya menahan suspek utama berusia 20 tahun di Stesen Bas Kuala Dungun pada kira-kira 11 pagi hari yang sama selain turut merampas besi yang dipercayai digunakan dalam rumah kongsi berkenaan.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Dungun untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Artikel Lain