suria

Tiada Krew MH370 Yang Dibersihkan - Hishammuddin

Hishammuddin (tiga, kanan) menjawab pertanyaan media pada sidang media mengenai perkembangan terkini pesawat MH370 di PWTC pada Sabtu. - fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada Sabtu menjelaskan penyiasatan ke atas anak kapal pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 masih lagi berjalan dan tiada siapa yang telah dibersihkan.

"Saya tidak fikir sesiapapun telah dibersihkan daripada sebarang penyiasatan. Sepanjang senarai yang ditunjukkan, ia termasuk juga anak-anak kapal. Empat kemungkinan Ketua Polis Negara (KPN) ingatkan kami, siasatan ke atas keganasan, rampasan, psikologi atau peribadi. Itu, saya tahu masih berjalan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan media berkaitan siasatan anak kapal MH370 pada sidang media mengenai pencarian MH370 di sini, Sabtu.

Rabu lepas KPN Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis telah membersihkan kesemua penumpang MH370 daripada siasatan rampasan, sabotaj, psikologi dan masalah peribadi tetapi masih menyiasat anak-anak kapal termasuk juruterbang dan pembantu juruterbang.

Dalam perkembangan berkaitan, Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata beliau tiada masalah dalam mendapatkan maklumat tentera dan data radar dari negara-negara Asean terutamanya yang terlibat dalam operasi menyelamat yang kini telah masuk hari ke-29.

Pesawat itu yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 12.41 tengah malam 8 Mac lepas hilang daripada skrin radar kira-kira sejam kemudian semasa melintasi Laut China Selatan. 

Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama.

Usaha mencari yang disertai oleh pelbagai negara pada mulanya dilakukan di Laut China Selatan, tetapi setelah didapati pesawat itu melencong daripada haluannya, dan terbang sepanjang dua koridor - koridor utara yang menjangkau dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan ke utara Thailand dan di koridor selatan dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi.

Berikutan kaedah menganalisis data satelit yang tidak pernah digunakan sebelum ini, syarikat satelit komunikasi British Inmarsat dan Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom merumuskan penerbangan MH370 terbang sepanjang koridor selatan and kedudukan terakhirnya adalah di tengah-tengah Lautan Hindi, 
 barat Perth, Australia.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pada 24 Mac lepas, 17 hari selepas kehilangan pesawat Boeing 777-200 itu bahawa penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi."

Rakaman perbualan antara juruterbang MH370 dan pengawal trafik udara tidak boleh dikeluarkan kerana ia masih lagi dalam siasatan.

Hishammuddin juga berkata pencarian pesawat itu akan berterusan melampaui nilai wang.

Ditanya mengenai peluang kesemua penumpang dan anak kapal selamat, beliau berkata itulah yang diharapkan oleh anggota keluarga mereka.

"Walaupun tipis untuk selamat, itu masih jadi pegangan mereka (keluarga penumpang). Biarpun jika ianya satu keajaiban, biarpun ianya tidak mungkin tercapai. Jika itu adalah keinginan keluarga, saya fikir adalah wajar jika kami dapat menghormati keinginan mereka," katanya.
 
Sementara itu ketika ditanya sama ada Malaysia bersedia memohon maaf untuk tragedi MH370, beliau berkata itu bukan sebahagian daripada penyelesaian.

Hishammuddin berkata mendapatkan pesawat itu dan kotak hitamnya untuk mendedahkan apa yang sebenarnya berlaku masih merupakan tugasan yang besar dan mencabar dan beliau berterima kasih kerana ramai yang dapat melihat insiden itu secara positif.

"Itu adalah sesuatu yang memberikan kekuatan kepada kami kerana jika ia berlanjutan lebih lama, kami memerlukan segenap tenaga yang boleh kami dapat untuk mendapatkan kebenaran tentang apa sebenarnya berlaku kepada MH370," katanya.


Artikel Lain