suria

Laporan Audit Negara Kemuka 109 Syor Perbaiki Kelemahan

Penolong Juruaudit Jabatan Audit Negara, Norhasniza Norkhalid melihat Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2013 Siri 1 yang mula dikeluarkan di Bangunan Parlimen di Kuala Lumpur, Isnin.

KUALA LUMPUR: Sebanyak 109 syor dikemukakan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2013 Siri 1 bagi membantu kementerian, jabatan dan syarikat kerajaan memperbaiki kelemahan yang dikenal pasti.

Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang berkata laporan itu yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada Isnin mengandungi perkara yang telah diperhatikan hasil daripada pengauditan terhadap 17 program, aktiviti dan projek di bawah 14 kementerian dan jabatan serta pengurusan dua syarikat kerajaan.

"Mulai tahun ini, menteri-menteri telah dimaklumkan tentang laporan yang melibatkan kementerian masing-masing bagi memastikan mereka mengetahui lebih awal isu-isu yang akan dilaporkan serta mengambil tindakan segera," katanya dalam Kata Pendahuluan laporan itu.

Ambrin berkata pada umumnya, terdapat kelemahan seperti 'improper payment', kerja/bekalan/perkhidmatan tidak mengikut spesifikasi/tidak berkualiti/tidak sesuai; kelewatan dan harga tidak munasabah; pembaziran; kelemahan pengurusan hasil, pengurusan dan penyenggaraan aset kerajaan; ketidakpatuhan terhadap undang-undang alam sekitar serta kelemahan pengurusan syarikat kerajaan.

Beliau berkata kelemahan itu disebabkan kecuaian dalam mematuhi peraturan/prosedur yang ditetapkan kerajaan; kurang teliti semasa merancang program/aktiviti/projek dan menetapkan skop serta spesifikasi tender dan tidak memantau dengan kerap dan teliti kerja kontraktor/vendor/perunding.

Kelemahan lain termasuk kurang kemahiran dalam pengurusan projek; lewat membuat keputusan mengenai perolehan; sistem maklumat kementerian/jabatan/syarikat kerajaan yang tidak lengkap dan tidak kemas kini; kurang memberi perhatian terhadap keberhasilan/impak sesuatu program/aktiviti/projek dan kekurangan peruntukan untuk penyenggaraan aset.

Menerusi laporan itu, Ambrin berkata Jabatan Audit Negara telah menjalankan empat jenis pengauditan iaitu Pengauditan Penyata Kewangan, Pengauditan Pematuhan, Pengauditan Prestasi dan Pengauditan Pengurusan Syarikat Kerajaan.

Beliau berkata 'Auditor General's Dashboard' yang dilancarkan pada 30 Mei 2013 dipaparkan di Laman Portal Jabatan Audit Negara keesokan harinya yang menunjukkan status tindakan Laporan Ketua Audit Negara terkini mulai tahun 2012.

 "Ia berperanan untuk memantau tindakan oleh kementerian, jabatan terhadap isu-isu yang dibangkitkan dalam laporan, selain itu, ia juga bagi menunjukkan komitmen serius kerajaan terhadap isu-isu ketirisan pengurusan kewangan kerajaan," katanya.

Ambrin berkata 'Auditor General's Dashboard' juga merupakan saluran pemberitahuan kepada pihak awam berhubung status tindakan yang diambil.



PAC, Audit, Dewan Rakyat

Artikel Lain