BESUT: Seorang pelancong dari China ditemui lemas berhampiran Pantai Pasir Panjang, Pulau Perhentian Besar malam Isnin. Pemangku Ketua Polis Daerah Besut DSP Noorzainy Mohd Noor berkata mayat Liu Feng, 31 ditemui pada 8.30 malam. Mangsa yang berasal dari Guangdong sebelum itu dilapor turun ke pantai bersama isteri dan dua rakan untuk mandi-manda pada 5.30 petang, katanya dalam sidang media di sini Selasa. Menurut Noorzainy, mangsa dipercayai mandi di kawasan yang agak dalam dan menghadapi masalah apabila dipukul ombak kerana tidak tahu berenang sebelum tenggelam. Noorzainy berkata mayat mangsa ditemui tidak jauh dari lokasi dia dilapor tenggelam oleh pasukan mencari dan menyelamat. Mayatnya dihantar ke Hospital Daerah Besut pagi ini untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada Kedutaan China, kata Noorzainy.