Musa mengulas kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada Jumaat bahawa Esscom tidak boleh dipersalahkan kerana kejadian itu dan lebih baik jika resort-resort di pulau-pulau terpencil itu ditutup.
"Kita tidak akan menutup resort di pulau-pulau. Saya akan memberitahu ini kepada Wan Junaidi," kata Musa pada Selasa.
Wan Junaidi dipetik pada Jumaat lepas sebagai berkata: "Jika ditanya saya, saya akan mengatakan resort-resort di pulau kecil, dan terpencil harus ditutup. Tiada siapa yang boleh menjamin keselamatan tempat-tempat ini apabila ia terletak jauh di luar pantai. Polis dan tentera tidak boleh berada di sana sepanjang masa."
Pelancong China Gao Huayun, 29, dan pekerja Filipina Marcy Dayawan @Mimi, 40, telah diculik dari resort Singgahmata di Semporna Rabu lepas oleh tujuh lelaki bersenjata yang mempunyai kaitan dengan kumpulan Abu Sayyaf hanya dua hari selepas Esscom menyambut ulang tahun pertamanya.