KUALA LUMPUR: Laporan Ketua Audit Negara menegur kelemahan perancangan dan penyimpanan perolehan program Sara Diri Industri Roti fasa pertama Jabatan Penjara melibatkan peruntukan perolehan sebanyak RM1.2 juta. Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2013 Siri 1, lima institusi penjara telah menerima arahan membuat perolehan peralatan dan mesin roti, sebelum memindahkan kesemuanya kepada Penjara Pusat Kajang yang akan beroperasi di bawah program itu sebagai projek perintis. Bagaimanapun berdasarkan pemeriksaan Audit, tiga daripada lima institusi terbabit tidak menjaga secara rapi kesemua peralatan dan mesin roti yang diterima pada Disember 2012. Ia berlaku di Penjara Wanita Kajang, Penjara Seremban dan Penjara Bentong yang menurut laporan itu sehingga menyebabkan ada peralatan dan mesin roti yang disimpan telah berkarat akibat terdedah kepada air dan panas. Laporan itu yang dibentang di Dewan Rakyat hari ini, menarik perhatian antara lain, di Penjara Kajang, pemeriksaan Audit mendapati peralatan dan mesin roti disimpan di kawasan luar bengkel perusahaan dan terdedah kepada panas dan hujan. Sementara di Penjara Bentong, peralatan dan mesin roti disimpan di kawasan tempat letak bas dengan ditutupi kanvas yang telahpun koyak dan dimasuki air. Bagaimanapun, pemeriksaan Audit pada bulan Mei 2013 mendapati peralatan dan mesin roti di Penjara Pusat Kajang dan Penjara Sungai Udang telah disimpan dalam stor atau di tempat tertutup bersesuaian dan tidak terdedah kepada panas dan hujan. Di bawah program berkenaan, Penjara Pusat Kajang merupakan projek perintis dan jika berjaya akan dipanjangkan ke empat lagi institusi penjara yang terlibat dalam perolehan itu. Lawatan susulan pihak Audit pada 2 Jan lepas mendapati semua komponen peralatan dan mesin roti di lima institusi itu telah dipindahkan dan dipasang di bengkel roti di Penjara Pusat Kajang serta telah beroperasi dan menghasilkan produk. Program Sara Diri Industri Roti adalah inisiatif di bawah Program Penjara Industri diperkenalkan Jabatan Penjara Malaysia untuk menyediakan kemahiran kepada banduan. Berdasarkan perancangan Program Sara Diri Roti bernilai RM27.13 juta, ia akan dilaksanakan melalui dua fasa dengan fasa satu dimulakan pada bulan September dengan projek perintis di Penjara Pusat Kajang sebelum dipanjangkan ke empat penjara lain. Fasa satu hanya melibatkan pasaran dalaman manakala fasa kedua melibatkan pasaran luar yang akan bermula pada 2016.