KOTA KINABALU: Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun berharap sesi dialog khas bersama pengusaha resort di negeri ini dapat diadakan susulan kes penculikan di Semporna minggu lepas. Beliau berkata, terdapat keperluan untuk menyemak semula implikasi akibat insiden itu, hampir lima bulan selepas kes culik-bunuh di sebuah resort di daerah sama yang membawa kepada sesi dialog khas diadakan bersama peserta industri pelancongan negeri, termasuk pengusaha resort, pada November tahun lepas. "Mudah-mudahan saya dapat mengadakan pertemuan dengan pengusaha resort tidak lama lagi untuk memperincikan perkara yang kami persetujui tahun lepas. "Kita tidak seharusnya bersedih hati ekoran peristiwa yang telahpun berlaku. Kita seharusnya menjadikan insiden ini sebagai pengajaran dan meneruskan langkah berikutnya," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pembukaan Hospital Gleneagles di sini, Selasa. Pada 2 April, seorang pelancong warga China dan seorang pekerja resort warga Filipina diculik sekumpulan lelaki bersenjata dari sebuah resort di Pulau Singamata, Semporna. Insiden itu berlaku hanya beberapa bulan selepas kes culik-bunuh apabila seorang lelaki warga Taiwan ditembak mati di sebuah resort di Pulau Pom Pom, Semporna pda 15 Nov tahun lepas, manakala seorang wanita Taiwan pula diculik sekumpulan lelaki dalam insiden pada 1 pagi itu. Sementara itu, Masidi yakin Sabah akan dapat mencapai sasaran 3.4 juta pengunjung sebelum hujung tahun ini, di sebalik tragedi kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 dan kes penculikan itu. "Ternyata ada keperluan untuk melakukan sedikit penyesuaian (dalam melonjakkan industri pelancongan di negeri ini) dalam memastikan kita dapat mencapai sasaran yang kita sendiri tetapkan," katanya.