SHAH ALAM: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun)-DAP Sekinchan, Ng Suee Lim menegur Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kerana tidak mewakilkan beberapa tugasnya kepada exco kerajaan negeri pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri, Selasa. "Apa salahnya mewakilkan tugas untuk exco seperti Adun Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi; Adun Sabak, Sallehen Mukhyi dan Adun Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah... maka laporan kemajuan boleh dikemukakan setiap enam bulan?'' soal Ng. Ng berkata, Khalid perlu mewakilkan tanggungjawab kepada anggota exco dan tidak melakukan segala-galanya sendiri. Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul terima kasih titah ucapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah semasa sesi pembukaan persidangan DUN pada Isnin.