KUALA LUMPUR: Felda yang ditubuhkan pada 1956 bukan sahaja berperanan sebagai sebuah agensi yang membangunkan ladang malah turut menumpukan pada aspek pembangunan modal insan seiring dengan maqasid syariah. Pengarah Jabatan Hal Ehwal Islam Felda Prof Hassanuddin Mohd Yunus berkata peranan itu menggambarkan usaha berterusan Felda dalam menghayati wasatiyyah untuk membawa kejayaan kepada peneroka. Katanya, perkara itu selari berlandaskan lima prinsip utama maqasid syariah iaitu menjaga agama, nyawa, akal, maruah keturunan dan harta benda. "Dalam laluan Felda menjadi konglomerat dunia, multinasional pertanian, kuasa ekonomi dan wadah pembangunan holistik, tidak pernah dilupakan tanggungjawab hakikinya terhadap masyarakat. "Kini, Felda juga memperkasakan kemahiran keusahawanan golongan belia dengan 30,000 usahawan digilap dan lebih 50 peratus berjaya dalam bidang masing-masing," katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk 'Penghayatan Wasatiyyah Dalam Menerajui Kejayaan Felda" pada seminar antarabangsa 'Penghayatan Wasatiyyah Dalam Maqasid Syariah' di sini, Rabu. Seminar dua hari itu dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa, dihadiri kira-kira 700 peserta dari dalam dan luar negara menyaksikan pembentangan 10 kertas kerja dalam pelbagai bidang. Hassanudin berkata langkah Felda mempertingkat komitmen dalam pembangunan modal insan terutama golongan peneroka bertujuan melahirkan masyarakat yang lebih berdikari dan perkara itu dilaksanakan kerana kemiskinan akan membawa sesebuah bangsa itu ke arah kekufuran. "Kita akui matlamat ini sangat sukar tetapi bagi kami, sudah menjadi tanggungjawab untuk meningkatkan masyarakat secara holistik," katanya. Selain Malaysia, seminar anjuran Institut Wasatiyyah Malaysia (IWM) dengan kerjasama Felda itu melibatkan ilmuwan dari Jordan, Kuwait, Arab Saudi, Qatar dan Indonesia. Majlis penutupan seminar dijadual disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom pada Khamis.