suria

Usaha Mengesan Pesawat MH370 Hadapi Pelbagai Cabaran

Peter Leavy.
PERTH: Usaha mencari 'tempat persemadian' pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang di Lautan Hindi, di luar pantai barat Australia, berdepan dengan pelbagai cabaran. 

Ia menjadi lebih sukar dengan kehadiran lapisan tebal kelodak, yang mungkin meliputi dasar lautan, isyarat yang semakin lemah daripada apa yang dipercayai sebagai kotak hitam pesawat berkenaan dan ketiadaan serpihan untuk membantu mengesan lokasi sebenar pesawat itu berada.

Komodor Peter Leavy, yang menyelaras usaha pihak tentera Australia mencari pesawat itu, memberitahu media bahawa bukti wujudnya kelodak tebal diperoleh daripada penyelidikan yang dilakukan di satu lokasi kira-kira 180km di luar kawasan mencari yang menjadi tumpuan sekarang.

"Usaha mencari secara visual mungkin mengalami banyak halangan kerana bangkai atau sebarang serpihan dengan mudah akan tenggelam ke dalam lumpur," katanya. 

Beliau berkata pengelodakan di dasar lautan juga boleh menyekat isyarat yang dipancarkan kotak hitam, berbanding dengan di permukaan pejal seperti batu, yang boleh memantulkan isyarat yang dipancarkan. 

Sementara itu, ketua penyelaras Pusat Penyelarasan Agensi Bersama Australia (JACC) Ketua Marsyal (B) Angus Houston berkata beliau gusar dengan kemerosotan kekuatan isyarat kerana para pencari memerlukan lebih banyak pancaran isyarat untuk membuat analisis terhadap data bagi menentukan lokasi pesawat syarikat penerbangan Malaysia itu berada.

Katanya isyarat berkenaan mungkin semakin lemah berikutan keadaan bateri kotak hitam yang semakin habis kuasa.

Empat isyarat dikesan kapal Australia, Ocean Shield, yang menunda alat pengesan pinger milik Tentera Laut Amerika. Alat itu mampu membuat pengesanan di kawasan enam kali lebih luas daripada kawasan yang mampu diliputi oleh drone yang dilengkapi sonar, kata Houston.

 "Lebih jelas Ocean Shield dapat memastikan kawasan yang perlu diberi tumpuan, maka lebih mudahlah bagi kenderaan khas bawah air (Bluefin 21) untuk mencari bangkai pesawat terbabit," katanya.

Kotak hitam yang mengandungi perakam data penerbangan dan perakam suara kokpit diyakini mampu menjawab persoalan tentang apa yang dialami pesawat MH370 bersama 239 orang di dalamnya, yang menyimpang beribu-ribu kilometer daripada laluan asalnya bagi penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac.

Para pakar mengesahkan bahawa dua isyarat yang dikesan pada Sabtu konsisten dengan isyarat yang datang daripada peranti buatan manusia, dan bukan bunyi semula jadi hidupan marin di lautan itu.

Pesawat MH370 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada pukul 12.41 tengah malam 8 Mac dan hilang daripada skrin radar kira-kira sejam kemudian ketika berada di ruang udara Laut China Selatan. 

Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.

Operasi melibatkan pelbagai negara dilancarkan untuk mencari pesawat itu, pada mulanya di Laut China Selatan dan kemudian di sepanjang dua koridor - koridor utara dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga ke utara Thailand dan koridor selatan dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi - apabila MH370 didapati melencong daripada laluan asalnya.

Berikutan analisis yang dilakukan terhadap data satelit, syarikat telekomunikasi satelit dari United Kingdom Inmarsat dan Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara UK (AAIB) merumuskan bahawa Penerbangan MH370 terbang di sepanjang koridor selatan dan kedudukan terakhirnya ialah di tengah-tengah Lautan Hindi, di barat Perth.

Pada 24 Mac iaitu 17 hari selepas pesawat Boeing 777-200ER itu hilang, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa Penerbangan MH370 'berakhir di Lautan Hindi'.


Artikel Lain