SEPANG: Kerajaan meminta supaya dua wakil Malaysia diserap dalam Pusat Penyelaras Agensi Bersama (JACC) Australia bagi membantu misi mencari pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370. Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, beliau berharap wakil daripada Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) dapat menyertai operasi secepat mungkin. "Kami harap mereka dapat diserapkan secepat mungkin," katanya selepas meninjau KLIA2 di sini, Sabtu. Selain itu Hishammuddin berkata jawatankuasa peringkat kementerian berhubung MH370 juga akan menghantar pegawai ke Perth untuk memantau dan membantu operasi pencarian.