KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah mengingatkan para pegawai tentera muda agar terus meningkatkan pengetahuan dalam ilmu ketenteraan supaya mereka lebih sensitif dengan perkembangan teknologi pertahanan semasa. Sebagai pegawai tentera berijazah, Seri Paduka Baginda berharap pasukan pertahanan muda negara akan lebih berkemampuan untuk menghadapi cabaran kerjaya masa hadapan dengan penuh yakin serta semangat jati diri yang tinggi. "Seperti mana yang kita ketahui, profesion ketenteraan merupakan satu kerjaya yang unik. Kerjaya ini menekankan dua elemen penting iaitu kemahiran ketenteraan dan juga kepakaran profesional dalam pelbagai bidang seperti kejuruteraan, sains dan pengurusan. "Gabungan kedua-dua elemen ini akan memberi kesan kepada usaha meningkatkan keupayaan pertahanan negara. Beta yakin dengan ilmu yang ada, saudara saudari akan dapat menyumbang ke arah pembentukan angkatan tentera yang kredibel dan disegani," titah baginda. Baginda bertitah demikian pada istiadat perbarisan diraja dan pengurniaan watikah tauliah pegawai kadet Universiti Pertahanan Nasional Malaysia di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Sungai Besi sini, Sabtu. Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah. Hadir sama Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin. Tuanku Abdul Halim juga meminta para pegawai tentera muda agar proaktif dalam membantu merancang masa hadapan angkatan tentera supaya ia dapat menyesuaikan diri pada ancaman bentuk baharu yang mula dirasai dalam proses globalisasi kini. Selain itu, Seri Paduka Baginda mengingatkan pegawai tentera muda supaya menjaga nilai peribadi dan akhlak dengan tidak terjebak dengan gejala yang tidak sihat. "Semua tugasan hendaklah disempurnakan dengan jujur dan amanah. Maruah imej angkatan tentera boleh terjejas akibat tindakan segelintir pegawai-pegawai yang tidak bermoral dan tidak amanah," titah baginda. Pada pembukaan ucapan baginda, Tuanku Abdul Halim turut menzahirkan rasa simpati kepada penumpang dan anak kapal pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang lebih sebulan lalu. Baginda meminta anggota keluarga penumpang dan anak kapal pesawat supaya bertenang dan tabah. Baginda mengurniakan watikah tauliah kepada 270 orang pegawai tentera yang menamatkan latihan ketenteraan dan pengajian akademik mereka.