suria

MH370: Penyertaan Wakil DCA Dalam JACC Hanya Untuk Bantuan Pencarian

PERTH: Penyertaan dua wakil Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Malaysia dalam operasi pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 kendalian Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) hanya sebagai pemudah cara dan membantu operasi.

Dua wakil itu, Penolong Pengarah Prinsipal DCA Noor Izhar Baharin dan Penolong Pengarah Pusat Koordinasi Mencari dan Menyelamat Aeronautika Kuala Lumpur Muhammad Irfan Ahmad Baidove, menyatakan kehadiran mereka juga adalah sebagai pegawai perhubungan bagi Malaysia.

"Ketika ini merupakan proses mengumpulkan pakar-pakar, saya fikir oleh kerana senario seperti ini dianggap yang pertama berlaku di dunia, jadi setiap pakar perlu datang dan memberikan idea untuk merungkai masalah ini," kata Noor Izhar.

Mereka tiba di Perth pada Jumaat dan secara rasminya menyertai pasukan itu pada Sabtu.

Noor Izhar berkata pasukan itu akan mengadakan taklimat pada 9 pagi setiap hari di sini berhubung perkembangan terkini operasi pencarian.

Ketika diminta mengulas lanjut berhubung perkara itu, Noor Izhar, bagaimanapun berkata sebaiknya perkara itu datang daripada ketua penyelaras JACC sendiri.

"Ini (taklimat) diperlukan kerana kami mahu mengelak percanggahan dalam mengeluarkan kenyataan, lebih-lebih lagi kepada awam," katanya.

Ditanya berapa lama mereka akan bersama-sama JACC, yang berpangkalan di sini, Noor Izhar berkata tempohnya masih belum pasti.

Pada Sabtu, Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein semasa mengumumkan penyertaan dua wakil itu turut membayangkan Malaysia mungkin akan menghantar wakil tiga jawatankuasa khas mengenai MH370 kementerian untuk membincangkan tentang persediaan yang perlu dilakukan pihak Malaysia dalam operasi pencarian kotak hitam MH370 dan selepas penemuannya.

Penerbangan MH370, membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam dan hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam kemudian semasa berada di ruang udara Laut China Selatan. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing 6.30 pagi hari sama.

Misi mencari pesawat itu melibatkan pelbagai negara, pada mulanya di kawasan Laut China Selatan dan kemudiannya - selepas pesawat itu dikesan melencong daripada laluan asal - di sepanjang dua koridor iaitu koridor utara dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga utara Thailand dan koridor selatan dari Indonesia sehingga selatan Lautan Hindi.

Berikutan hasil analisis terhadap data satelit, syarikat telekomunikasi satelit United Kingdom Inmarsat dan Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara UK (AAIB) merumuskan Penerbangan MH370 terbang di sepanjang koridor selatan dan kedudukan terakhirnya di tengah-tengah Lautan Hindi, barat Perth. 

Najib kemudian mengumumkan pada 24 Mac, 17 hari selepas kehilangan pesawat Boeing 777-200 itu, Penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi".

Artikel Lain