suria

Gabungan Calon Pada Pemilihan PKR Tidak Jejaskan Parti - Abdul Khalid

Abdul Khalid Ibrahim.
SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada Isnin membidas kenyataan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali kononnya tindakan membentuk gabungan calon dalam menghadapi pemilihan parti akan menjejaskan parti.

Katanya, pembentukan gabungan sedemikian disifatkan sebagai perkara biasa dan ia tidak seharusnya menjadi isu oleh mana-mana pihak terutamanya calon yang bertanding pada pemilihan PKR bulan depan.

"Tiada mana-mana pembentukan gabungan boleh jejaskan masa depan parti sedangkan ia adalah satu demokrasi kerana ada yang bertanding secara berpasukan dan ada juga secara individu.

"Saya juga tidak tahu yang mana satu betul, yang mana satu tidak (gabungan dalam pemilihan PKR), tetapi saya fikir perkara seperti ini harus dibiarkan saja," katanya kepada pemberita di lobi Dewan Undangan Negeri di sini Isnin.

Tambah Abdul Khalid, keputusan kemenangan calon yang bertanding pada pemilihan itu ditentukan 400,000 anggota PKR.

Pada pemilihan itu, Abdul Khalid akan bertanding jawatan timbalan presiden mencabar penyandangnya Mohamed Azmin.

Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan muka baharu Datuk L. Ramachandran turut bertanding jawatan itu.

Pada Ahad, Mohamed Azmin dilaporkan oleh sebuah portal berita mengenai kebimbangannya dengan kewujudan gabungan calon bersaing merebut jawatan dalam PKR.

Beliau menyifatkan gabungan Saifuddin, naib presiden Nurul Izzah Anwar dan pengarah strategik Rafizi Ramli bagi menghadapi pemilihan dilihat tidak sihat kepada masa depan parti tersebut.

Artikel Berikut

Artikel Lain