KUALA LUMPUR: Asean mesti bergerak sebagai kuasa bersama untuk memperkukuh pengaruh ekonomi, sosial dan keselamatan dan mencapai kejayaan lain yang mungkin sukar dicapai secara individu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Ketika berucap pada Forum Putrajaya 2014 di sini Isnin, beliau menegaskan bahawa kedudukan Asean yang kukuh dan berjaya bukan sahaja menjadi satu keperluan ekonomi tetapi juga penting dalam konteks strategik. Untuk mencapai matlamat ini, Najib berkata institusi yang diketuai Asean seperti Proses Dialog Asean Campur Satu, Forum Serantau Asean, Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan Asean dan Sidang Kemuncak Asia Timur adalah amat penting. "Ia menyediakan platform yang sewajarnya untuk memupuk keyakinan, ketelusan dan membangunkan peraturan-peraturan dan norma," kata beliau. Forum itu yang bertemakan 'Memperkukuh Keselamatan dan Kestabilan Serantau', diadakan sempena Pameran Perkhidmatan Pertahahan Asia (DSA) ke-14 yang berlangsung mulai hari ini hingga 17 April. Najib berkata ketika Malaysia sudah bersedia untuk menjadi pengerusi Asean tahun depan dan kemungkinan dipilih menjadi anggota tidak tetap dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu, isu keselamatan merupakan satu daripada tonggak Komuniti Asean yang semua anggota berikrar untuk menyokong dan mempertahankannya mulai 2015 dan selepas itu. Beliau berkata melalui Asean, negara anggota secara sebahagian besarnya dapat mengurangkan ancaman antara rantau oleh kerana pertubuhan serantau itu menjadi platform bagi penyelesaian konflik dan penghubung terhadap masalah keselamatan dalam ruang lingkup yang lebih luas di dunia. "Ia memperkukuh hubungan antara negara anggota. Oleh kerana Malaysia mengetahuinya berdasarkan pengalaman, hubungan ini amat perlu dan telah diuji dalam keadaan yang sukar," kata beliau. Najib berkata Asean yang mantap dan berkait rapat antara satu sama lain berada dalam kesiapsiagaan yang lebih baik untuk mendepani cabaran keselamatan pada tahun-tahun akan datang. Beliau berkongsi pandangan dengan hadirin bahawa Asean juga memainkan peranan penting ke arah pemupukan keamanan, dan Malaysia akan terus memainkan peranan sebagai perantara untuk menangani konflik dalaman membabitkan anggota Asean, apabila permintaan seumpama itu dikemukakan. Di samping itu, Najib berkata, program berkaitan kesederhanaan harus dimasukkan dalam dokumen pengganti pada Referensi Utama untuk Menubuhkan Komuniti Asean yang akan diterima pakai di Malaysia pada 2015. "Organisasi seperti Pergerakan Kesederhanaan Global harus bekerjasama rapat dengan institusi Asean sedia ada seperti Institut Asean bagi Keamanan dan Perdamaian," kata beliau. Najib juga berkata Asean mesti memastikan bahawa negara anggota terikat untuk berkongsi kemakmuran melalui rangkaian Perjanjian Perdagangan bebas untuk membantu anggota menyesuaikan diri dengan arah aliran ekonomi tetapi juga menjadi maju melalui mereka. Di peringkat antarabangsa, Najib berkata, semua negara harus mengkaji cara untuk memberi sumbangan besar kepada cabaran keselamatan utama dunia seperti pengawalan senjata nuklear, penyelesaian konflik dan memupuk keamanan dan membendung keganasan dan kegiatan lanun. "Mengenai pengawalan nuklear, Asean telah meluluskan perjanjian yang komprehensif iaitu Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara. Asean harus menyokong penuh persidangan yang dicadangkan bagi penubuhan zon yang serupa di Timur Tengah," kata Najib. Beliau berkata prinsip berkongsi maklumat dan pembangunan kapasiti harus dipakai terhadap inisiatif antikeganasan yang kadang-kala memperlihatkan kurangnya koordinasi untuk benar-benar bersifat serantau.