GEORGE TOWN: Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya yakin Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Teng Chang Yeow (gambar) mampu melaksanakan tanggungjawab sebagai pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri berdasarkan pengalamannya dalam bidang politik. Beliau berkata pelantikan semula Teng itu disambut baik oleh semua pihak dalam komponen parti dan berkeyakinan BN Negeri Pulau Pinang akan lebih kukuh serta bersedia menghadapi pilihan raya umum ke-14. "Dia (Teng) masih muda dan berpengalaman, ini masanya untuk kita bermula awal untuk pilihan raya, kempen perlu diteruskan dan dekatkan diri dengan masyarakat setempat," katanya kepada pemberita di sini. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pelantikan semula Teng sebagai pengerusi BN negeri selepas majlis penyerahan bantuan dan peralatan kepada pesakit anjuran Jabatan Kerja Sosial Perubatan, Hospital Pulau Pinang pada Selasa. Teng menerima surat pelantikan semula itu daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 8 April lepas berkuat kuasa serta merta. Mei tahun lepas, Teng meletak jawatan sebagai setiausaha agung Gerakan dan pengerusi BN negeri berikutan kekalahan teruk parti gabungan itu dalam pilihan raya umum ke-13 di Pulau Pinang. Beliau dilantik sebagai pengerusi BN negeri pada April 2012 menggantikan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang dan presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon. Sementara itu pada majlis hari ini, 33 pesakit menerima bantuan melibatkan kos RM489,250. "Dengan adanya kolaborasi antara jabatan kerajaan dan badan bukan kerajaan dapat meringankan beban kewangan pesakit serta keluarga mereka khususnya bagi yang kurang berkemampuan," katanya.