NEW YORK: Lawatan Presiden Amerika Barack Obama ke Asia, termasuk Jepun, Korea Selatan, Malaysia dan Filipina akhir bulan ini dijangka memberi fokus terhadap beberapa isu dua hala dan serantau. Ketua Penolong Setiausaha Negara Amerika bagi Asia Pasifik di Jabatan Negara Scot Marciel berkata: "Isu yang mungkin dibincangkan antara Presiden Obama dan pihak Malaysia termasuk hubungan perniagaan, Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) dan perdagangan dua hala." Bekas duta besar Amerika di Indonesia itu menyatakan demikian kepada Bernama tentang lawatan Obama ke Malaysia - sesuatu yang dinanti-nantikan sejak sekian lama - di luar kerangka satu persidangan pada Isnin, bertemakan 'Pengurusan Risiko di Asean: Peluang dan Cabaran', yang dihoskan bersama Majlis Perniagaan Amerika-Asean dan Dewan Perniagaan Amerika-Indonesia di Yale Club New York. Ini merupakan lawatan rasmi pertama Obama ke Malaysia selepas kunjungan bekas Presiden Lyndon Johnson pada 1966. Pada persidangan itu, Marciel memberi gambaran menyeluruh tentang keadaan di Asia Tenggara dan turut memperkatakan tentang peluang serta cabaran yang wujud di rantau Asean. Marciel berkata: "Pertumbuhan perlahan China membuka peluang kepada negara anggota Asean dari segi pelaburan dan perdagangan. Asean adalah rantau yang sangat penting dan kami menyokong AEC (Komuniti Ekonomi Asean yang akan lahir pada 2015)." Beliau juga begitu bersungguh-sungguh menjelaskan tentang kebaikan TPP - Malaysia adalah antara negara anggota Asean yang amat diharapkan menyertai kumpulan itu - yang beliau sifatkan sebagai "enjin pertumbuhan". "Ia (TPP) penting bagi pertumbuhan dan kemakmuran rantau itu," katanya. Sementara itu, beberapa pakar tentang Asean memberitahu Bernama di luar persidangan itu bahawa Obama akan menyatakan sokongannya terhadap Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berucap di Perhimpunan Agung Bangsa Bersatu pada September 2013. Beberapa penasihat Obama tentu sekali ingin melihat terjalinnya hubungan strategik antara kedua-dua negara, seperti yang telah wujud antara Washington dengan Singapura dan Thailand. Para diplomat Amerika juga menjangka pihak Malaysia akan membincangkan langkah untuk meningkatkan hubungan pertahanan dengan Amerika. Kedudukan penting Malaysia, seperti yang diakui golongan peniaga dan penggiat industri Amerika, semakin berkembang dari segi saiz dan kepentingannya di peringkat serantau. Selain merupakan anggota berpengaruh dalam Asean dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Malaysia dilihat sebagai sebuah negara Islam pelbagai budaya yang berpendirian sederhana. "Kunci paling utama ialah kesederhanaan. Malaysia boleh menjadi rakan menarik jika ia dapat mengekalkan pendirian sederhananya dalam semua hal," kata seorang ahli perniagaan Amerika yang menghadiri persidangan itu. Berapa pakar percaya kedua-dua pihak mungkin mengumumkan penubuhan pelbagai kumpulan kerja peringkat tinggi bagi menangani dan menyelesaikan isu tertentu berkaitan politik, ekonomi, keselamatan dan sosiobudaya.