suria

Pemilihan PKR: Anwar Atau Azizah Menang Tanpa Bertanding?

PETALING JAYA: Hanya seorang calon akan bertanding merebut jawatan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pemilihan parti hujung bulan ini.

Pengumuman yang dibuat Datuk Seri Anwar Ibrahim itu sekali gus mengesahkan desas-desus mengenai kemungkinan beliau atau isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga penyandang jawatan itu akan menarik diri.

Menurut Anwar, beliau dan isterinya, tidak akan bertarung sesama sendiri atas perjanjian 'hidup mati bersama'.

"Hanya seorang yang akan bertanding. Calonnya ialah sama ada Anwar atau Azizah.

"Saya dan Azizah berada dalam kem hidup mati bersama. Tak mungkin kami bertanding sesama sendiri. Malah, peraturan pemilihan turut benarkan calon tarik diri pada saat-saat akhir," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini, Rabu.

Menurut Anwar, beliau dan isterinya, tidak akan bertarung sesama sendiri atas perjanjian 'hidup mati bersama'.


Anwar yang juga Penasihat PKR mengulas spekulasi kononnya beliau akan menarik diri bagi memberi laluan kepada isterinya untuk menang tanpa bertanding.

Ditanya mengapa perlu mempertimbangkan kemungkinan untuk menarik diri, Anwar berkata beliau mengutamakan kepentingan parti berbanding cita-citanya mahu menjadi Presiden PKR.

"Saya tak boleh abaikan kepentingan parti ini. Jika keputusan saya bertanding dan kemudiannya menang akan menyebabkan PKR dibatalkan oleh akta pertubuhan, saya tidak akan meneruskannya," katanya.

PKR berdepan risiko dibatalkan pendaftarannya oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) jika Anwar meneruskan hasrat untuk bertanding jawatan presiden.

Bagaimanapun, tanggapan itu disangkal peguam PKR, Radzlan Jaludin yang mengatakan Anwar masih boleh bertanding berdasarkan peruntukan di bawah Seksyen 9 (4) Akta Pertubuhan.

Di bawah Seksyen 9 (4), ROS boleh memberikan pengecualian kepada individu yang dibatalkan kelayakan dengan menyediakan permohonan yang dihantar kepada pertubuhan itu.

Difahamkan Anwar telah menghantar permohonannya tetapi masih menunggu maklum balas daripada ROS.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain