suria

BN Akan Buat Pendirian Tentang Hudud Apabila Tiba Waktu Sesuai - Muhyiddin

Tan Sri Muhyiddin Yassin.
GEORGE TOWN: Barisan Nasional (BN) akan membuat pendirian jelas mengenai usul rang undang-undang persendirian (Hukum Hudud)
apabila tiba waktu yang sesuai, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bercakap dalam sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin Umno Pulau Pinang di sini hari ini, beliau berkata BN akan terlebih dahulu meneliti bentuk usul hukum Hudud yang akan dikemukakan PAS agar tidak bercanggah dengan hukum Islam.

"Pada prinsipnya sebagai orang Islam saya fikir kita harus bersama-sama dalam soal ini...bila ia berkaitan dengan hukum tentang apa yang telah dimaktubkan dalam agama kita, kita seharusnya menerima itu.

"Sebagai seorang Islam adalah satu perkara yang tidak betul kalau kita menolaknya...cuma kita belum tahu apakah bentuk usul yang nak dikemukakan itu. Jadi apabila sampai nanti BN akan meneliti cadangan itu secara semasak-masaknya dan mungkin tiba satu peringkat kita akan umumkan pendirian kita," katanya.

Kerajaan PAS Kelantan melalui anggota Parlimen parti itu dilaporkan akan membawa usul rang undang-undang persendirian (Hukum Hudud) di Dewan Rakyat bagi mendapatkan kebenaran melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 selewat-lewatnya Disember tahun ini.

Muhyiddin berkata BN perlu mengetahui proses dan prosedur serta bentuk usul yang akan dikemukakan itu sama ada cara Hudud Kelantan yang ingin dilaksanakan itu selaras dengan hukum Hudud Islam yang sebenarnya.

"Jadi bila sampai waktu nak disampaikan di Parlimen nanti kita dalam B Nwalaupun ada Umno dan bukan Umno, ada Islam ada bukan Islam...kita akan bincang dan kaji (perkara itu)," katanya.

Ditanya mengenai pelantikan semula Teng Chang Yeow sebagai pengerusi B NPulau Pinang, Muhyiddin berkata pelantikan semula Teng diterima baik memandangkan beliau mempunyai pengalaman dalam usaha menyatu dan mengukuhkan kerjasama antara parti-parti komponen BN.

Beliau berkata apa yang penting sekarang adalah usaha BN Pulau Pinang dalam merangka langkah-langkah strategik bersama-sama pemimpin parti komponen untuk menebus kekalahan di Pulau Pinang.

"Itu satu cabaran besar kepada beliau (Teng) dan rakan-rakan lain, tapi jika ada kesungguhan dan kerjasama serta semangat perpaduan yang kukuh, saya yakin hal itu boleh dilaksanakan," katanya.


Artikel Lain