Setiausaha Agung DAP itu berkata berita kematian Karpal Singh akibat kemalangan di Kampar yang diterima beliau pada pukul 3 pagi, amat mengejutkan.
"Saya mewakili seluruh warga DAP merakamkan takziah kepada anggota keluarga beliau, dan bagi pihak kerajaan negeri, kita mahu memberi penghormatan kepadanya, 'a proud son of Penang'," katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini, Khamis.
Beliau berkata Karpal Singh bukan sahaja seorang peguam yang dihormati malahan seorang ahli politik yang tegas dan tidak berkompromi dengan prinsip yang dipegangnya.
"Ia adalah satu kehilangan yang besar, kami terkejut dengan kehilangan secara tiba-tiba ini. Ini kerana kami percaya banyak lagi yang boleh beliau sumbangkan," katanya.