suria

"Kami Mahu Buktikan Sudah Berubah" - Orang Di Parol

Penolong Pengarah Parol dan Perkhidmatan Komuniti Negeri Selangor Jabatan Penjara, Ketua Inspektor Sukur Noordin (dua, kiri) dan Penyelia Rumah Perantaraan Negeri Selangor, Abdul Salam Mohd Abdullah (kiri) mengadakan sesi motivasi bersama dua 'Orang Di Parol' di rumah perantaraan.
Eksklusif  MUKADIMAH: Sistem Parol yang dilaksanakan Jabatan Penjara kini memasuki tahun ke tujuh pelaksanaannya. Mengikut rekod, jumlah keseluruhan 'Orang Di Parol' atau ODP mencecah 7,843 di seluruh negara. Bagi mengetahui keberkesanan sistem ini, mStar Online menjejak beberapa ODP untuk mengetahui kisah silam dan kehidupan baru yang dijalani bekas banduan ini selepas melalui program ini.


KUALA LUMPUR: “Kami mahu buktikan kepada masyarakat, terutama keluarga bahawa kami sudah berubah dan tidak mengulangi kesilapan lalu. Terimalah kami semula bila bebas nanti,” demikian luahan dua banduan yang menjalani sistem parol.

Mereka yang lebih dikenali sebagai 'Orang Di Parol (ODP) kini melalui proses pemulihan di luar penjara di Rumah Perantaraan Negeri Selangor di Semenyih.

Khairil (bukan nama sebenar), 26, dapat merasai kekecewaan ibu bapanya yang benar-benar mahu dirinya berubah supaya tidak terjebak lagi dengan najis dadah.

"Sebelum ini saya tinggal di Kapar (Klang) dan kemudian berpindah ke Telok Gong kerana ibu bapa mahu menjauhkan saya daripada pengaruh rakan yang terlibat dengan aktiviti dadah.

"Malangnya, di tempat baharu saya masih dipengaruhi penagih dan terjebak dalam penagihan dadah," katanya kepada mStar Online sambil menyatakan rasa kesal apabila mengimbau sejarah silam.

Kharil dipenjarakan pada Oktober tahun lalu atas kesalahan melanggar pengawasan polis yang melibatkan kes dadah. Beliau kemudiannya dilepaskan secara perintah parol pada Mac lalu dan ditempatkan di rumah perantaraan atas faktor tidak mendapat sokongan keluarga.

ODP
Kharil dan Fahmi berasa selesa di rumah perantaraan.

Dalam menunggu tempoh hukumannya yang berakhir Jun depan, Khairil sedaya-upaya menjadikan rumah perantaran itu sebagai platform untuk memajukan diri.

"Menetap di rumah perantaraan mengubah diri saya daripada segi disiplin dan pergaulan, malahan kini saya bekerja di kilang roti atas bantuan pegawai parol.

"Saya juga sudah bersedia meneruskan kehidupan apabila dibebaskan nanti. Saya mahu masyarakat terima saya seadanya terutama keluarga yang banyak berkorban kerana kelalaian saya," katanya.

Bagi Fahmi (bukan nama sebenar) pula, beliau tidak dapat membayangkan keadaan pada masa depan jika terus dipinggirkan keluarga dan masyarakat.

"Saya tahu mereka menyokong dan menyayangi saya. Saya cuma perlu berubah agar tidak mengulangi kesilapan lalu," katanya yang dipenjarakan atas kesalahan dadah pada Oktober tahun lalu.

Lelaki berusia 26 tahun ini yang mula menetap di rumah perantaraan sejak Februari lalu menyifatkan kemudahan yang disediakan oleh Jabatan Penjara sebagai ruang dan peluang baginya bersedia menghadapi cabaran dan dugaan dunia luar.

"Saya tahu pengaruh dadah begitu kuat di kampung. Jadi, tempoh parol mampu memberi kekuatan kepada saya untuk menjadi insan yang lebih baik.

"Tinggal di rumah perantaraan ini adalah secara sukarela, bukannya paksaan. Di sini, saya diajar tentang disiplin dan pembentukan diri yang positif," katanya yang berasal dari Pengkalan Chepa, Kelantan.

Rumah Perantaraan
Rumah Perantaraan Negeri Selangor.

Menurut Pengarah Parol dan Perkhidmatan Komuniti Jabatan Penjara Malaysia, Timbalan Komisioner Abdul Aziz Mohamad, walaupun tiada sokongan keluarga dan tidak diterima masyarakat setempat namun segelintir banduan masih berkelayakan untuk dilepaskan secara perintah parol sekiranya mereka berkelakuan baik.

"Ini hanya kes terpencil. Kita mahu memberi peluang kepada banduan yang berkelakuan baik untuk menyesuaikan diri dalam masyarakat di luar penjara. Kita mahu mereka melihat peluang ini sebagai sebahagian daripada penerimaan mereka dalam masyarakat.

"Mereka bagaimanapun hanya tinggal sementara di rumah perantaraan sehingga tamat menjalani hukuman," katanya.

Abdul Aziz berkata, terdapat tiga rumah perantaraan untuk ODP iaitu di Selangor, Pulau Pinang dan Pahang.

ODP, penjara, rumah perantaraan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain