suria

MH370: Waris Harapkan Keajaiban

Gambar arkib keluarga penumpang pesawat MH370.
Eksklusif  MUKADIMAH: Genap 40 hari kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS), MH370 yang membawa 239 penumpang dan kru. Malangnya, sejak 8 Mac lalu tragedi yang mendapat liputan meluas dunia ini masih belum terungkai misterinya. Susulan itu, mStar Online menemui beberapa kaunselor yang ditugaskan untuk mendekati waris penumpang bagi mendapatkan gambaran sebenar pengalaman yang dilalui sepanjang tempoh mencabar itu.

KUALA LUMPUR: Selepas lebih sebulan, masih ada ibu yang bertanya, di mana agaknya anak mereka, dah makan ke belum, sihat atau tidak. Memang sedih, malah menyentuh hati dan perasaan sesiapa yang mendengar, kata pegawai psikologi bahagian pengurusan psikologi jabatan perkhidmatan awam (jpa ), nazlinda ismail (gambar).

Ikuti paparan mStar Online Khamis, selepas genap 40 hari insiden kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) mengenai pengalaman tidak ternilai ini seperti diceritakan beberapa kaunselor mengenai kesukaran berhadapan situasi membabitkan emosi waris penumpang  MH370.

Bagi kaunselor berusia 38 tahun ini, tugasan kali ini bukan sesuatu yang mudah, malahan beliau meletakkan ia sebagai detik berharga yang akan dikenang sepanjang hayatnya.

Beliau berkata, sepanjang proses memantau perkembangan ahli keluarga penumpang, mereka dilihat tidak berputus asa dan sentiasa mengharapkan perkhabaran positif. Jauh di sudut hati keluarga penumpang dan kru masih menaruh harapan dan menanti kepulangan orang tersayang.

"Harapan itu dapat dilihat menerusi luahan hati seorang ibu yang masih terkenang nasib anak bongsunya yang belum ada jawapan sehingga hari ini.

"Setiap kali saya menghubungi ibu mangsa, dalam perbualan itu si ibu pasti selitkan rasa bimbang dan tertanya-tanya keadaan anaknya.

"Pelbagai pertanyaan itu membuatkan saya turut sama merasai kesedihan itu walaupun kami tiada pertalian saudara," katanya.

Seluruh dunia kini menanti khabar mengenai pesawat yang gagal tiba ke Beijing, China selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 8 Mac lalu dan sehingga kini ia masih kekal misteri, kecuali kesimpulan yang menyatakan ia berakhir di selatan Lautan Hindi tanpa sebarang bukti nyata.

Nazlinda berkata, walaupun secara luaran ibu mangsa kelihatan kuat dan seolah-olah sudah pulih, namun hakikatnya kesedihan itu masih ada.

"Emosi keluarga ketika ini masih tidak menentu. Ada naik dan turun, terutama apabila serpihan objek dilaporkan sudah ditemui, tetapi disahkan bukan dari pesawat.

"Laporan berita seperti ini banyak mempengaruhi emosi ahli keluarga mangsa. Hati mereka jadi tidak keruan tetapi pada masa sama berharap laporan itu tidak benar," katanya.

Beliau bagaimanapun bersyukur kerana dalam pertemuan dengan seorang ibu mangsa di kediamannya akhir bulan lalu, ibu berkenaan mengakui sudah bersedia menerima sebarang perkhabaran sama ada berita gembira atau sebaliknya.

"Mak cik tu kata dia dah sedia. Kalau anaknya dapat balik dalam keadaan cantik macam ni (merujuk kepada foto anaknya), alangkah baiknya, tapi kalau dah tak ada dan balik dalam apa jua keadaan sekali pun mak cik akan terima. Asalkan tahu di mana dia ada pun dah cukup. Kata-kata itu benar-benar meruntun hati saya," katanya.

Nazlinda antara 45 kaunselor dari pelbagai agensi dan pertubuhan yang bernaung di bawah Pasukan Intervensi Krisis Malaysia (MCIT) yang berkampung di Hotel Everly, Putrajaya, lokasi di mana ahli keluarga penumpang pesawat MH370 ditempatkan sejak 8 Mac lalu.

"Cabaran hari pertama amat besar. Kita tidak tahu apa yang terbuku di hati ahli keluarga, lebih-lebih lagi ketika itu mereka sedih dan keadaan fizikal terlalu lemah.

"Sepanjang di sana tempat penginapan (keluarga penumpang), kami tidak terus beri kaunseling, sebaliknya lebih kepada mendampingi mereka dan memberi sokongan emosi dengan menjadi tempat meluahkan perasaan," katanya.

Sejujurnya, Nazlinda berkata beliau sendiri kena kuat sebelum membantu meredakan kegelisahan dan kesedihan ahli keluarga mangsa.

"Tidak dinafikan saya sendiri memang terlalu sedih tetapi saya tidak boleh tunjukkan kesedihan itu. Saya perlu buat mereka kembali tersenyum dan bangkit semula," katanya.

Perkara sama dikongsikan pegawai psikologi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Lee Kah Nyin, 29 (gambar) yang senada dengan Nazlinda mengenai harapan berlakunya keajaiban.



"Mereka masih meletakkan harapan yang penumpang masih selamat kerana tiada bukti nyata yang mampu merungkai misteri kehilangan pesawat ini.

"Dalam kes ini, ia sesuatu yang belum pasti... belum ada jawapan kepada pengakhirannya. Jadi ahli keluarga mahupun waris masih tertunggu-tunggu jawapannya," kata Lee.

Jelas beliau, selagi tiada bukti mengenai apa sebenarnya yang menimpa pesawat tersebut, selagi itulah pelbagai pertanyaan akan dibangkitkan.

"Pada satu tahap saya tertanya-tanya kepada diri saya cara bagaimana perlu saya lakukan untuk mendekati mereka kerana saya sendiri tiada jawapan kepada segala pertanyaan itu.

"Krisis ini amat berbeza dengan situasi yang dihadapi mangsa banjir dan kebakaran yang pernah saya temui sebelum ini. Ia memerlukan persiapan diri yang rapi kerana emosi ahli keluarga penumpang mengambil masa yang agak lama untuk pulih," katanya.

Lee berkata, tragedi ini juga banyak membuka matanya untuk menjadi lebih kuat dan memperbaiki kelemahan diri dalam menghadapi apa jua cabaran pada masa akan datang.


MH370, kaunselor, JPA

Artikel Lain