suria

MH370: Kaunselor JPA Siap Siaga Ke Fasa Terakhir

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal (dua, kanan) dan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Noorul Ainur Mohd Nur (kanan) bersama para kaunselor ketika mengadakan lawatan ke atas ahli keluarga penumpang pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu di hotel Everly, Putrajaya baru-baru ini.
Eksklusif  MUKADIMAH: Genap 40 hari kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS), MH370 yang membawa 239 penumpang dan kru. Malangnya, sejak 8 Mac lalu tragedi yang mendapat liputan meluas dunia ini masih belum terungkai misterinya. Susulan itu, mStar Online menemui beberapa kaunselor yang ditugaskan untuk mendekati waris penumpang bagi mendapatkan gambaran sebenar pengalaman yang dilalui sepanjang tempoh mencabar itu.

KUALA LUMPUR: Unit Kaunseling Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bersedia untuk memasuki fasa terakhir iaitu kaunseling bagi menemui ahli keluarga penumpang MH370 sebaik pesawat itu berjaya dikesan.

Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Psikologi JPA, Dr Abdul Jalil Hassan berkata pihaknya sentiasa bersiap siaga untuk menghantar kaunselor jabatan ke rumah waris penumpang apabila masanya tiba untuk melaksanakan fasa keempat itu.

"Kita sudah bersedia untuk ke fasa terakhir. Sebaik saja pesawat tersebut ditemui kita akan menghantar kaunselor untuk membantu ahli keluarga menerima hakikat pengakhiran tragedi ini," katanya kepada mStar Online  Khamis.

Abdul Jalil berkata, krisis ini membabitkan empat fasa iaitu kejadian, penantian, pengumuman dan kaunseling di mana fasa ketiga (pengumuman) sudah dilalui apabila Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) membuat pengumuman mengenai pesawat tersebut berakhir di Lautan Hindi.


Abdul Jalil (tengah) berbual dengan waris penumpang pesawat MH370 di Everly Hotel, Putrajaya bulan lalu.


Katanya, pada tahap ini, ada keluarga yang sedia terima apa yang diumumkan tetapi bersyarat ada bukti kukuh ditemui,  bagaimanapun ada juga waris yang boleh menerima perkembangan itu dengan hati terbuka, manakala tidak terkecuali ada yang langsung tidak boleh menerimanya.

Sehubungan itu, Abdul Jalil berkata, pada fasa ini, kaunselor memainkan peranan penting dalam menstabilkan emosi dan merasionalkan semula kehidupan ahli keluarga terlibat.

"Apabila mereka berada dalam situasi seperti ini, emosi itu sentiasa naik dan turun. Kita tidak boleh menidakkan emosi mereka. Jadi kita bantu mereka dari sudut psikologi dalam menghadapi saat getir ini," katanya yang memberi jaminan pihaknya akan terus menyalurkan sokongan moral dan emosi kepada semua ahli keluarga penumpang pesawat MH370 sehingga misteri kehilangan pesawat itu terungkai.

Beliau berkata, tiada jangka masa ditetapkan kerana proses menangani krisis ini memakan masa yang agak lama.

"Misteri kehilangan pesawat ini tidak dapat dipastikan. Jadi proses untuk berhubung dengan ahli keluarga penumpang bagi mengetahui perkembangan mereka akan diteruskan.

"Pada tahap ini kita lebih kepada pendekatan mendengar luahan hati ahli keluarga penumpang. Namun jika ada yang memerlukan sesi kaunseling kita sedia bantu," katanya.

Menurut Abdul Jalil, kaedah kaunseling kepada ahli keluarga yang terlibat membabitkan dua cara iaitu emosi dan kognitif, dimana kebiasaannya penyampaian secara emosi selalunya digunakan untuk mereka yang berpendidikan sederhana, manakala kognitif iaitu bersertakan bukti untuk golongan berpendidikan tinggi.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai pengalamannya sepanjang menangani krisis ini, Abdul Jalil berkata insiden ini banyak mengajar masyarakat dunia mengenai erti kehidupan dan nilai hubungan kekeluargaan yang tidak dapat dibeli dengan wang ringgit.

"Sepanjang di Hotel Everly, Putrajaya, kita dapat lihat bagaimana ahli keluarga sentiasa bersatu memberi sokongan antara satu sama lain.

"Malah masyarakat seluruh dunia tanpa mengira agama dan bangsa juga turut sama berdoa agar pesawat tersebut segera ditemui. Insiden ini membawa satu hikmah besar kepada kita," katanya.


JPA, MH370, psikologi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain