PETALING JAYA: Bekas Pengerusi DAP, Karpal Singh, 74, maut dalam kemalangan ngeri di kilometer 301.6 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara berhampiran Gua Tempurung kira-kira pukul 12.40 pagi Khamis.
Turut terkorban ialah pembantu peribadi Karpal iaitu Michael Cornelius, 40-an.
Ketua Polis Daerah Kampar Supt Ng Kong Soon berkata, pembantu rumah Karpal Singh, seorang wanita warga Indonesia cedera parah dan mengalami pendarahan di bahagian otak.
Katanya, seorang anak pemimpin pembangkang itu, Ramkarpal Singh, 38, dan pemandu kenderaan MPV, C.Selvam, 27, tidak mengalami kecederaan dalam kemalangan pada pukul 12.40 pagi itu.
"Siasatan awal polis mendapati kenderaan MPV jenis Toyota Alphard berwarna putih yang membawa lima penumpang termasuk Karpal Singh dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang dipercayai hilang kawalan apabila tiba di kawasan kejadian dan melanggar bahagian kanan lori yang sedang bergerak di sebelah kiri laluan itu," katanya.
Ahli Parlimen Gelugor itu dipercayai dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang untuk menghadiri satu kes mahkamah.
Anaknya yang juga Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo ketika dihubungi menerusi sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) berkata Karpal maut ditempat kejadian.
"Kita kehilangan seorang rakan, pejuang yang tidak tahu erti penat serta seorang lagenda keadilan... takziah kepada keluarga," tulis Anwar di Twitternya.