KUALA LUMPUR: Majlis pelancaran eksklusif mStar Online dengan tagline 'Meraikan Aspirasi Dunia Maya’ berlangsung meriah dengan kehadiran artis, selebriti terkenal tanahair dan wakil pelbagai agensi kerajaan serta swasta. Tema santai ternyata menepati ciri terkini portal berita berbahasa Melayu dibawah naungan Kumpulan Media The Star yang kini menampilkan wajah baharu lebih menarik dan interaktif. Paparan mStar Online dengan pelbagai isu semasa yang lebih segar juga bagi memenuhi kehendak pengunjung terutama dalam kalangan golongan muda, khususnya penggemar media digital. Dari kanan; Wong Chun Wai, Hasan Malek dan Rozaid. Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Seri Wong Chun Wai berkata, mStar Online mencatatkan kira-kira 400,000 pengunjung unik sejak perubahan susun atur dan pendekatan laporan berita yang diketengahkan mulai 9 Mac lalu. "Saya amat berbangga dan teruja dengan wajah baharu ini yang kelihatan unik, lebih tersusun, segar dan sentiasa memenuhi kehendak pembaca. "Diharap portal ini dapat menjadi contoh kepada portal berita lain dari segi kepelbagaian konsep laporan berita," katanya pada majlis berkenaan, petang Khamis. Lebih 300 tetamu hadir bagi memberi sokongan kepada mStar Online yang mula diperkenalkan pada Ogos 2005, termasuk Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hasan Malek. Rozaid (kanan) memberi penerangan mengenai mStar Online kepada Farin Ahmad, Nelydia Senrose dan kakaknya, Uqasha serta Roy Tan, Ketua Pegawai Operasi Digital Bisnes, The Star. Sementara itu, Pengarang Eksekutifnya, Rozaid A. Rahman (gambar atas, kanan) berkata tahun ini adalah titik permulaan yang begitu bermakna kepada mStar Online yang mencecah lapan tahun tempoh operasinya. "Kami ingin menghasilkan sesuatu yang berlainan dengan portal online yang lain dengan kombinasi berita hiburan, semasa, sukan dan mewujudkan beberapa seksyen baharu seperti niaga, keusahawanan, foto galeri dan mStarDotTv. "Apa yang menariknya, portal ini turut dilayari oleh pembaca luar negara iaitu Indonesia, Singapura dan Brunei. Sudah pasti, kami mengharapkan jumlah pembaca akan terus meningkat dari semasa ke semasa," katanya. Kemunculan Anuar Zain di akhir acara adalah kemuncak pelancaran wajah baharu mStar Online pada Khamis.