KUALA LUMPUR: Lima pemenang peraduan #mstarvip yang diadakan sempena pelancaran eksklusif mStar Online memenangi tiket penerbangan tajaan AirAsia ke pelbagai destinasi percutian menarik di sekitar rantau Asia. Mereka yang berjaya memikat hati juri itu adalah Zarina Zainal Alam, 22; Muhammad Haikal Mohd Ramlee, 24; Nur Syuhada Anuar, 29; Nur Adiba Hamzah, 25 dan Hafizatul Atikah Mohd Fauzi, 24. Hadiah kepada pemenang bertuah yang bakal terbang ke destinasi percutian menarik seperti Bangkok, Singapura, Guangzhou, Jakarta dan Bandung disampaikan Pegawai Khas Kepada Pengerusi Eksekutif AirAsia, Edd Razhe pada majlis yang diadakan petang Khamis. Pemenang peraduan itu dipilih berdasarkan penampilan ‘summer chic’ paling menarik menerusi akaun Instagram mstardotcomdotmy yang diadili selebriti Fazura dan Rizman Ruzaini. Keseluruhannya, lebih 300 penyertaan diterima di mana 20 daripadanya disenaraikan sebagai finalis sebelum lima peserta terbaik dipilih untuk memenangi peraduan itu. Finalis yang berjaya, Zarina mengucapkan ribuan terima kasih kepada mStar Online kerana menganjurkan peraduan yang bersesuaian dengan citarasa remaja masa kini. Beliau yang memenangi tiket ke Jakarta juga percaya portal berita ini dapat menarik lebih ramai pengunjung jika dapat mengadakan lebih banyak peraduan seumpama itu. Seorang lagi yang bertuah, Hafizatul Atikah pula menyifatkan kemenangan itu sebagai hadiah istimewa sempena majlis pernikahannya. "Saya sangat bersyukur, tidak sangka gambar yang saya hantar hanya sekadar suka-suka itu terpilih. Alhamdulillah, saya anggap ini hadiah sempena majlis perkahwinan saya tidak lama lagi," katanya. Nur Syuhada yang juga seorang jurulatih kecergasaan berkata beliau terkejut apabila diberitahu terpilih sebagai pemenang. "Saya amat terkejut. Tidak sangka dapat berkumpul dalam kalangan selebriti di majlis seperti ini," katanya. Nur Adiba pula menganggap kemenangan tersebut sebagai peluang untuk bercuti ke Guangzhou, China bagi merehatkan mindanya. Bagi Muhammad Haikal pula, beliau gembira terpilih kerana dapat juga melancong ke Bandung dengan tiket secara percuma. "Terima kasih mStar Online. Diharap semoga sukses dan menganjurkan lebih banyak peraduan seperti ini pada masa hadapan," katanya.