KUALA LUMPUR: Gara-gara mengintai seorang perempuan di dalam tandas seorang jurujual lelaki hari ini didenda RM2,000 atau empat bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini. Majistret Nurul'Ain Abdul Rahim menjatuhkan hukuman itu terhadap Syed Abu Bakar Sadiq Syed Salleh, 23, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu dengan maksud hendak mengaibkan kehormatan mangsa. Dia didakwa melakukan kesalahan itu dalam tandas perempuan tingkat 5, Bangunan Pavilion, Jalan Bukit Bintang di sini, pada 15 April lepas, pukul 8.40 malam. Syed Abu Bakar Sadiq, yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya dan mengikut fakta kes, tertuduh berada di dalam bilik tandas bersebelahan ketika kejadian itu berlaku. Sementara itu di mahkamah yang sama seorang penganggur S. R. Suresh, 35, didenda RM2,000 atau empat bulan penjara setelah mengaku bersalah mendatangkan kecederaan dengan sengaja kepada isterinya dua hari lepas. Dia didakwa melakukan kesalahan itu terhadap B. Parameswary, 36, dengan menggunakan cerek elektrik plastik di No.25-4 Apartment Gemilang, Jalan Klang Lama di sini, pukul 1 pagi, 16 April lepas. Berdasarkan fakta kes, mangsa yang bekerja sebagai pencuci mengalami kecederaan di kepala selepas dipukul lima hingga enam kali menggunakan cerek tersebut. Suresh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tiga tahun dan denda. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Joy Jothi Nadrarasan (she) manakala tertuduh tidak diwakili peguam.