suria

Lelaki Ditahan Cuba Seludup Petrol Subsidi

BUKIT KAYU HITAM: Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) merampas 27,000 liter petrol bersubsidi yang dipercayai cuba diseludup serta menahan seorang lelaki di Km 7, Lebuh Raya Utara-Selatan di sini.

Komander Kawasan UPP Bukit Kayu Hitam, Shahidan Ladin berkata suspek berusia 51 tahun itu ditahan kira-kira pukul 6 petang setelah anggotanya menahan sebuah lori tangki yang mencurigakan yang dipandu lelaki terbabit.

"Ketika ditahan, didapati suspek membawa barang kawalan itu namun gagal menunjukkan sebarang dokumen atau lesen untuk membawanya. Petrol yang dirampas bernilai RM54,000, manakala lori tangki itu bernilai RM100,000, menjadikan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM154,000," katanya pada sidang media di sini, Jumaat.

Beliau berkata hasil risikan pihaknya mendapati minyak petrol berkenaan dibawa dari Butterworth, Pulau Pinang dan dipercayai untuk dikumpul dan disimpan di stor haram di sekitar kawasan sini.

Shahidan berkata suspek yang berasal dari Tikam Batu, Sungai Petani itu tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

Petrol Subsidi, UPP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain