suria

Waris Penumpang MH370 Mahu Bantuan Kewangan - Hamzah

KUALA LUMPUR: Waris dan keluarga penumpang Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang hilang sejak 8 Mac akan mengemukakan cadangan kepada Jawatankuasa Waris Penumpang berhubung bantuan kewangan yang diperlukan dalam masa terdekat.

Pengerusi jawatankuasa berkenaan, Datuk Hamzah Zainuddin berkata perkara itu adalah antara isu utama yang dibangkitkan dalam pertemuan antara beliau dengan kira-kira 40 waris di sebuah hotel di sini, pada Ahad.

Hamzah berkata cadangan itu akan dibawa ke mesyuarat jawatankuasa berkenaan esok untuk diteliti dan kerajaan sedaya upaya akan cuba membantu mereka mengharungi waktu yang amat sukar ketika ini.

"Kami bekerjasama rapat dengan mereka untuk memastikan apa yang saya katakan sebelum ini, perkara berhubung kepentingan mereka sentiasa dekat di hati kita.

"Kami memahami keperluan mendesak untuk mendapat maklumat bagi pihak keluarga dan mereka yang memerhati di seluruh dunia," katanya dalam sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan waris penumpang MH370 di sini.

Pertemuan tertutup selama lebih dua jam itu turut dihadiri Ketua Pengarah Penerbangan Awam, Datuk Azharuddin Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya.

Penerbangan MH370, Boeing 777-200 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang pada 8 Mac ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing kira-kira sejam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarbangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12.41 malam.

Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.

Ketika ditanya pihak yangbertanggungjawab menyediakan bantuan kewangan, Hamzah yangjuga Timbalan Menteri Luar berkata: "Ia akan datang daripada MAS dan juga daripada kerajaan, jika perlu.

Hamzah menegaskan bantuan itu bukan sahaja untuk waris keluarga dari Malaysia dan ia juga meliputi anggota keluarga dari China bagi membuktikan bahawa kerajaan Malaysia amat bertanggungjawab.

Hamzah berkata pengumuman mengenai pengesahan status penumpang pesawat MH370 hanya akan dibuat setelah mempunyai bukti yang disahkan oleh pakar bertanggungjawab bagi mengelak sebarang perkara tidak diingini.

"Kita tidak boleh berpanjangan macam ini, mesti ada garis waktu untuk buat kepastian. Kita akan putuskan dalam masa yang terdekat.

"Sebaik sahaja kami mahu membuat pengumuman sedemikian kami benar-benar mahu mengesahkan semula sesetengah isu, bukti tertentu dan perkara-perkara tertentu. Oleh itu, kami benar-benar perlu memahami keadaan," katanya.

Menjawab pertanyaan mengenai keluarga dari China yang enggan menerima penjelasan Malaysia, Hamzah berkata perkara itu tidak dapat dielak memandangkan insiden kehilangan MH370 turut menimbulkan pelbagai persoalan di seluruh dunia.

Katanya apa yang penting adalah Kuala Lumpur hanya membuat sesuatu sesuatu kenyataan atau penjelasan selepas maklumat yang diterima dianalisis oleh pakar.

"Kita semua kena faham ini memang susah untuk kita percaya kerana ini berlaku pertama kali di dunia," katanya.
Bagaimanapun, Hamzah menekankan adalah penting untuk kerajaan China membantu memberi penjelasan dan penerangan kepada rakyatnya memandangkan mereka lebih memahami kedudukan serta budaya masing-masing.

"Ini penting agar ia tidak menjadi masalah kepada hubungan baik antara Malaysia dengan China yang telah lama terjalin, maka segala salah faham mesti dijelaskan oleh kerajaan China kepada waris penumpang di sana," katanya.

Hamzah Zainuddin, MAS, MH370

Artikel Lain