KUALA LUMPUR: Pemeriksaan ketat pihak berkuasa terhadap perkhidmatan bas ekspres dan persiaran akan ditingkatkan berikutan kerapnya berlaku kemalangan jalan raya membabitkan kenderaan itu sejak kebelakangan ini. Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi, berkata kementerian akan menjalankan pemeriksaan secara rawak terhadap bas ekspres dan persiaran di terminal bas serta menempatkan pegawai penguat kuasa rondaan di kawasan yang kerap berlaku kemalangan. "Kementerian akan mengadakan satu mesyuarat bersama dengan semua agensi terlibat esok bagi membincangkan tindakan penguatkuasaan lanjut yang akan di ambil," katanya di sini, Isnin. Beliau berkata, agensi berkaitan termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (Spad) dan lain agensi akan berbincang bagi menentukan langkah yang boleh diambil. Ab Aziz berkata, langkah untuk mengekang kemalangan bas ekspres perlu disegerakan untuk mengelak kejadian buruk berlaku. Beliau diminta mengulas tiga kemalangan membabitkan bas sejak seminggu lalu dengan yang terbaharu berlaku petang Ahad apabila sebuah bas persiaran yang membawa penumpang dari Pulau Redang ke Singapura terbabas sebelum jatuh ke dalam gaung dan mengorbankan seorang pelancong dari Singapura. Sabtu lalu, sebuah bas ekspres yang membawa 28 penumpang terbabas di Km 118, Lebuh Raya Pantai Timur yang mengakibatkan 10 orang cedera, manakala pada 12 April lalu, tiga orang termasuk sepasang suami isteri maut manakala 10 lagi cedera apabila sebuah bas ekspres dua tingkat terbabas dan terbalik di Bentong, Pahang.