suria

Polis Siasat Kemungkinan Wujud Unsur Sabotaj Insiden Libatkan MAS

Khalid Abu Bakar.

PUTRAJAYA: Polis akan menjalankan siasatan terperinci termasuk kemungkinan wujud unsur sabotaj terhadap semua insiden yang melibatkan Penerbangan Malaysia (MAS), kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Ia ekoran insiden terbaharu melibatkan pesawat MAS MH192 yang membuat pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) awal pagi Isnin pada saat misteri kehilangan pesawat MAS MH370 masih belum terjawab, katanya.

"Kita akan mengambil langkah yang sepatutnya untuk menyiasat semua perkara berkaitan," katanya dalam sidang media selepas pelancaran Persidangan Akademi Persatuan Polis Antarabangsa (Interpa) kali ketiga di sini, Isnin.

Majlis tersebut dilancarkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan turut dihadiri Presiden Interpa, Prof. Dr. Remzi Findikli.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan kenyataan pemangku Menteri Pengangkutan yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, yang meminta pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya Cawangan Khas Bukit Aman, untuk menyiasat sebarang kemungkinan berlakunya sabotaj terhadap MAS. 

Pesawat MH192, yang bertolak ke Bangalore, India, dengan membawa 159 penumpang serta tujuh anak kapalnya melakukan pendaratan kecemasan selepas pesawat itu mengalami masalah pada gear pendaratan.

Pesawat itu yang berlepas dari KLIA pada 10.09 malam Ahad dan mendarat dengan selamat pada 1.56 pagi Isnin.

Kecekapan juruterbang pesawat itu yang melakukan pendaratan dengan baik dan lancar mendapat pujian penumpang pesawat berkenaan.

Pesawat MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal itu, pula hilang daripada radar kira-kira sejam setelah berlepas dari KLIA pada pukul 12.41 tengah malam 8 Mac lepas ketika berada di Laut China Selatan. 

Ia dijadual mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama.

Artikel Sebelum

Artikel Lain