suria

'Hold My Hand' Dedikasi Ibu Buat Anak Autistik

Clarance bersama Najib selepas membuat persembahan bermain piano pada majlis perasmian Seminar Antarabangsa Autisma 2014 di PICC, Selasa.
PUTRAJAYA:  Pengalaman tidak ternilai membesarkan anak autistik mendorong seorang ibu untuk menghasilkan lagu bertajuk 'Hold My Hand' bagi memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai anak istimewa ini.

Itulah yang dilakukan Joyce Lim, 50, ibu kepada anak autistik Clarence Kang yang kini berusia 16 tahun dan didiagnosis menghidap penyakit ADHD atau masalah hiperaktif kurang tumpuan dan autistik pada usia empat tahun. 

Malahan, beliau turut mengingatkan ibu bapa yang mempunyai anak istimewa supaya tidak malu mengakui kehadiran anak-anak seumpama itu dalam kehidupan keluarga dan masyarakat kerana setiap insan memiliki keistimewaan tersendiri.


Joyce Lim.

"Sebab itu saya tulis sendiri lagu 'Hold My Hand' kerana ia akan memberi inspirasi kepada ibu bapa yang mempunyai anak autistik. 

"Apabila mendengar lagu ini sudah pasti ia akan mengingatkan mengenai anak mereka yang cukup istimewa,” katanya kepada mStar Online selepas menghadiri majlis perasmian Seminar Antarabangsa Autisma 2014 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, Selasa. 

Lebih istimewa, lagu tersebut dipilih sebagai lagu tema sebuah filem yang mengisahkan seorang remaja lelaki autistik bertajuk ‘Beatiful Paint’ arahan Tunku Mona yang dijangka ditayangkan tahun depan.
 
"Saya yakin muzik dapat menyentuh hati masyarakat, sebab itu saya seronok apabila dapat menyumbang lagu dalam filem ini," katanya. 

Mengenai anaknya, Joyce yang juga Pengetua Sekolah Muzik Melodi berkata Clarence mempunyai kemahiran mencipta melodi sejak berusia 10 tahun. 


"Uniknya Clarance, dia mencipta melodinya sendiri selepas mengolah karya-karya ahli muzik dan pemain piaono terkenal dunia seperti Beethoven dan Mozzart. 

"Dia menulis nota muziknya sendiri serta mula menulis lagu bertajuk Concert of Fantasy, tiga tahun lalu," katanya. 


Ibu kepada tiga cahaya mata ini berkata, dia kini boleh berbangga kerana anak bongsunya itu sedang melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma di UCSI dalam bidang muzik. 

"Seorang pensyarah Dr Nicolas Ong merupakan pensyarah yang pakar dalam bidang muzik yang mengajar Clarence di rumah. 

"Bagi saya setiap ibu bapa tidak perlu malu ada anak seperti ini sebaliknya mencari jalan penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi oleh anak mereka. Biarkanlah dia meneroka dunia luar bagi membolehkan dia menjadi pakar dalam bidang yang diminatinya itu," katanya. 

Terdahulu Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan Program 'Permata Kurnia' yang akan mula beroperasi pada Mei 2015 ketika melancarkan Seminar Antarabangsa Autisma 2014. 

Pusat ini akan memberi tumpuan kepada program intervensi awal untuk membantu anak autisma agar mereka boleh menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain. 

Seminar selama dua hari anjuran Permata Negara ini menyediakan pelbagai program serta sesi soal jawab bersama pakar dalam pelbagai bidang perkembangan kanak-kanak.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain