suria

Ibu, Dua Anak Maut Nahas di Pontian

Gambar Hiasan

JOHOR BAHARU: Seorang wanita dan dua anaknya maut apabila Perodua Kelisa yang dinaiki bertembung kenderaan dari arah bertentangan di Kilometer 7.1 Jalan Pontian Besar, Parit Sikom, Pontian malam Isnin.

Dalam kejadian pukul 10.45 malam itu, mangsa Roslina Manggil, 29, seorang pekerja stesen minyak di Pekan Nanas, serta Mohd Sufi Jamaludin, 11, dan Melati Ayu Jamaludin, 9, dalam perjalanan pulang dari hospital.

Ketua Polis Daerah Pontian Superintendan Zahaliman Jamin, berkata berdasarkan siasatan awal, kenderaan dipandu mangsa tiba-tiba memasuki lorong bertentangan sebelum bertembung sebuah kereta Nissan Serena dari arah bertentangan.

"Bahagian belakang kenderaan mangsa kemudian digesel kereta Perodua Viva yang datang dari arah Pontian," katanya.

Beliau berkata, kemalangan itu berlaku di jalan lurus namun keadaan cuaca yang sedikit berkabus mungkin menghalang tahap penglihatan pemandu.

Katanya, lelaki yang memandu Nissan Serena cedera ringan, manakala pemandu Perodua Viva tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mayat kesemua mangsa dibawa ke Hospital Pontian untuk bedah siasat dan kenderaan yang terlibat dalam nahas itu dihantar ke Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian untuk pemeriksaan lanjut oleh Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).


kemalangan, Pontian, Perodua Viva

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain