KUALA TERENGGANU: Seorang penuntut sebuah pusat pengajian tinggi swasta di bandar raya ini membuang bayi lelaki yang baharu dilahirkannya dalam mangkuk tandas di rumah sewanya di Padang Hiliran di sini. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K.Manoharan berkata kejadian itu disedari rakan serumah penuntut itu pada kira-kira pukul 2.30 pagi selepas melihat rakannya itu terbaring di depan pintu tandas dengan keadaan yang lemah. "Terkejut melihat keadaan rakannya itu pelajar terbabit menghampiri tandas berkenaan sebelum melihat tompokan darah dan seorang bayi di dalam mangkuk tandas. "Pelajar berusia 21 tahun itu menghubungi ambulans dan rakannya itu dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (Hsnz) dan keadaannya kini dilaporkan stabil," katanya kepada pemberita di sini, Selasa. Hasil bedah siasat mendapati bayi lelaki yang cukup sifat itu mati ketika dilahirkan, katanya. Manoharan berkata polis sedang mengesan beberapa saksi termasuk teman lelaki penuntut itu yang berusia 22 tahun dan bekerja sebagai tukang cat bagi membantu siasatan kes itu. Katanya penuntut itu akan ditahan selepas selesai menerima rawatan di hospital.