suria

Pemasang Kanopi Dipenjara 3 Bulan Curi Pintu Besi KTMB

Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR: Seorang pemasang kanopi untuk majlis perkahwinan dihukum penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, Rabu selepas mengaku bersalah mencuri dua unit pintu besi semboyan milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Muhamad Hafizly Ismail, 29, didakwa mencuri pintu besi semboyan LC 5.30 itu yang bernilai RM800 di laluan KTMB Taman Wahyu, Sentul, di sini antara pukul 9.10 pagi dan 10.28 pagi, 21 April lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Majistret Nurul'Ain Abdul Rahim turut menjatuhkan hukuman penjara dua bulan ke atas Muhamad Hafizly kerana gagal menunjukkan kad pengenalan apabila diminta anggota polis pada 9.30 pagi, di tempat dan tarikh yang sama.

Nurul'Ain memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan secara berasingan bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 21 April lalu.

Tertuduh tidak diwakili peguam manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Joy Jothi Nadrarasan.


pintu besi, KTMB, pemasang kanopi

Artikel Lain